HomeUtamaPelajar IPT diingatkan guna AI secara bijak

Pelajar IPT diingatkan guna AI secara bijak

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Mahasiswa di semua peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta diingatkan agar menggunakan kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT dengan sebaiknya.

Mustapha Sakmud

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, teknologi yang ada harus dilihat sebagai alat bantu dan bukan menjadi alat pengganti pemikiran kritikal.

“Teknologi ini hadir untuk memudahkan, tetapi pelajar mesti menggunakan pemikiran analitis dalam menyusun dan menilai maklumat. Bukan sekadar salin dan tampal.

“Para pensyarah juga memainkan peranan penting dalam memastikan wujud proses pemikiran sebenar dalam penulisan pelajar. Kalau hanya ‘copy paste’ dan diberi markah, itu tiada proses pembelajaran yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Jom Masuk U di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Sabtu.

Mustapha berkata, pihaknya turut menyedari keperluan untuk menyesuaikan pendekatan penilaian dengan kemunculan teknologi baharu.

Katanya, ia termasuklah penggunaan perisian yang dapat mengesan kadar penggunaan AI dalam tugasan.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, KPT sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan kursus-kursus yang mempunyai kadar kebolehpasaran rendah atau tidak lagi diperlukan oleh industri.

Beliau yang memetik kajian oleh TalentCorp berkata, sebanyak 260 jenis pekerjaan dijangka menjadi lapuk di Malaysia.

Semakan di laman web TalentCorp menunjukkan 10 pekerjaan teratas yang berisiko tinggi untuk pupus akibat Revolusi Industri 4.0 adalah peragawati/peragawan, setiausaha, juruaudit, juruwang, ejen pelancongan, kerani kemasukan data, jurujual telefon, pekerja kilang, kerani bank, dan kerani perkhidmatan pos.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata mana-mana kursus universiti yang mempunyai kadar kebolehpasaran bawah 30 peratus akan disemak semula dan berkemungkinan dirombak untuk meningkatkan daya saingnya di pasaran kerja.

“Ini sudah menjadi sebahagian daripada dasar kami. Kami sedang menyediakan pelan strategik untuk pendidikan tinggi bagi memastikan semua program mengikuti perkembangan teknologi dan memenuhi keperluan industri.

“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita mesti mengelak daripada menawarkan program yang mempunyai kebolehpasaran rendah atau yang tidak lagi relevan dengan industri,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Usaha wujudkan PPD Membakut giat dilaksanakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular