PUTATAN: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tanjung Keramat, Burhanuddin Datuk Seri Yahya Hussin menyatakan sokongan penuh terhadap seruan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, agar gabungan itu bergerak secara solo menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah akan datang.
Beliau yang juga Ketua Cawangan Kuala Putatan berkata, pendirian itu selaras dengan prinsip GRS untuk memastikan pentadbiran negeri terus diterajui oleh parti tempatan demi kestabilan dan kemajuan rakyat Sabah.
“Kunci kejayaan kerajaan negeri adalah kestabilan politik. Situasi tukar-tukar kerajaan ini tidak membawa apa-apa kemajuan kepada rakyat Sabah,” katanya semasa berucap dalam Persidangan Cawangan Tahunan Gagasan Rakyat Cawangan Kuala Putatan yang diadakan di kediamannya di sini, malam tadi.
Majlis itu dihadiri lebih 100 ahli termasuk ahli lama dan baharu yang mendaftar keahlian pada malam tersebut.
Mengulas kenyataan beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menyuarakan hasrat untuk bekerjasama menghadapi PRN akan datang, Burhanuddin menegaskan bahawa GRS tetap berpegang pada prinsip memperkasakan autonomi dan kepimpinan parti tempatan.
Beliau turut menyeru seluruh ahli Gagasan Rakyat, khususnya di Bahagian Tanjung Keramat, agar terus memperkukuh perpaduan dan semangat perjuangan demi menjamin kestabilan serta pembangunan berterusan di Sabah.