KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, yang menekankan keutamaan parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik negeri Sabah.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, hanya parti tempatan benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah, justeru wajar menjadi teras pentadbiran negeri.
“GRS bukan sahaja membawa suara tempatan, malah terbukti berjaya memimpin Sabah ke arah kestabilan dan pembangunan melalui dasar-dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Ketegasan GRS untuk tidak mengabaikan aspirasi akar umbi akan terus menjadi keutamaan, terutamanya apabila wujud perbincangan politik di peringkat nasional yang kadangkala gagal memahami sensitiviti dan konteks politik negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah turut menegaskan bahawa kerjasama politik dengan parti-parti nasional mesti berpaksikan prinsip saling menghormati, bukan dengan meminggirkan kekuatan dan suara tempatan.
“Mana-mana percubaan membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS atau di luar kerangka muafakat sedia ada adalah tindakan pra-matang yang tidak mencerminkan keikhlasan kepada rakyat Sabah,” ujarnya.
Tambah beliau, Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai platform utama untuk memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan dan pembangunan berterusan di negeri ini.