HomeUtamaSTTP lindungi pesawah, pampasan sehingga RM3,000 setiap hektar

STTP lindungi pesawah, pampasan sehingga RM3,000 setiap hektar

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Belud: Pesawah berdaftar yang terjejas akibat bencana alam layak menerima pampasan sehingga RM3,000 bagi setiap hektar menerusi Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) Agrobank.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, skim itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu, sebagai inisiatif untuk melindungi pesawah yang terkesan akibat bencana alam dan serangan penyakit tanaman.

“STTP diperkenalkan sebagai pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh sektor penanaman padi serta memberikan perlindungan tambahan kepada pesawah.

“Sebelum ini, bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi hanya berjumlah antara RM800 hingga RM1,800, namun menerusi STTP, pesawah berdaftar boleh menerima pampasan sehingga RM3,000 bagi setiap hektar yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Pelancaran Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) serta STTP Agrobank di sini, pada Sabtu.

Arthur berkata, skim berkenaan turut menyediakan perlindungan tambahan sehingga RM1,500 bagi kerosakan tanaman akibat bencana seperti banjir, ribut petir, kemarau, kilat, selain serangan penyakit dan makhluk perosak.

Beliau menyifatkan pesawah sebagai wira dan juara dalam memastikan kelestarian ekonomi makanan negara, sekali gus memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri penting bagi memperkukuh ekosistem pertanian, khususnya di Sabah.

“LPBS pula berperanan membangunkan kawasan sawah padi baharu dan meningkatkan hasil pengeluaran beras tempatan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri mempunyai kelebihan dari segi tanah pertanian manakala kerajaan persekutuan boleh menyokong melalui penyediaan jentera, automasi, kebajikan pesawah dan pemindahan teknologi.

Katanya, kedua-dua pihak mempunyai matlamat sama iaitu meningkatkan hasil padi, mengurangkan kebergantungan kepada beras import serta memperkukuh sosioekonomi sektor pertanian negara.

Mengenai pengeluaran padi di daerah ini, Arthur berkata, Kota Belud menyumbang sebanyak 34 peratus kepada Tahap Sara Diri (SSL) Sabah yang kini berada pada paras 22.4 peratus.

“Masih banyak kawasan belum dimajukan. Jika tambahan 2,000 hektar tanah dapat dibangunkan, Sabah berpotensi meningkatkan SSL sebanyak 10 peratus lagi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah komited perkukuh agenda kesejahteraan rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular