TAWAU : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperkenalkan penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron di Tawau pada tahun ini.
Pelaksanaan fasa pertama program tersebut dijangka akan dilaksanakan pada suku keempat 2025 di dua buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di daerah itu.
SKMM dalam kenyataannya, memberitahu bahawa projek perintis itu akan diperluas ke sebanyak 150 buah NADI pada 2026 dan keseluruhan ke 392 buah NADI menjelang 2027.
“Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 1,099 buah NADI di seluruh negara.
“Melalui kerjasama antara pelbagai agensi, projek ini turut menyokong agenda pengembangan inisiatif kerajaan sedia ada dengan tumpuan kepada akses perkhidmatan kesihatan masa hadapan yang lebih berkualiti dan saksama kepada komuniti luar bandar melalui teknologi, seiring dengan perkembangan dan ketersediaan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI),” ujar SKMM.
Program penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungan beliau ke reruai NADI sempena perasmian penutupan Program Madani Rakyat (PMR) di Tawau, semalam.
SKMM melalui NADI menyertai acara PMR di Tawau selama tiga hari, dengan mempromosikan Perkhidmatan Pintar NADI dan projek strategik berimpak tinggi kepada komuniti, khususnya di kawasan pedalaman.
Antara tarikan utama di reruai NADI adalah pameran berkaitan inisiatif penghantaran ubat menggunakan dron yang bakal dilaksanakan oleh SKMM
bersama Kementerian Kesihatan selaku rakan utama dan rakan-rakan strategik seperti MRANTI serta penyedia teknologi dron tempatan.
Inisiatif ini merupakan projek perintis bagi membuktikan keberkesanan kaedah penghantaran ubat di kawasan luar bandar dan pedalaman dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih, bagi mempercepatkan akses ubat kepada komuniti di kawasan sukar dihubungi termasuk pulau, pedalaman dan lokasi yang tidak mempunyai keadaan jalan yang baik.
Reruai NADI di PMR Tawau turut menampilkan pelbagai aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI melalui lima teras utama iaitu Keusahawanan, Kesihatan, Pembelajaran sepanjang hayat, Kesedaran IT dan Perkhidmatan Kerajaan.