Tawau: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semalam menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Dewan Terbuka, Taman Sri Balung, Tawau, di sini.
Beliau turut menyempurnakan Program Outreach Ketua Menteri bersama badan bukan kerajaan (NGO), penyerahan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dan ramah mesra bersama penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Balung sempena majlis berkenaan.
Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri selaras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025).

Antara pengisian utama program ialah Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan usahawan muda iaitu sebuah program diilhamkan Ketua Menteri sendiri yang digerakkan oleh Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dengan menyasarkan 5,000 peniaga muda luar bandar.
Sebanyak 100 penerima dari DUN Balung terpilih bagi program ini.
Selain itu, penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ kepada 10 penerima dari DUN Balung; sumbangan khas berbentuk tiga unit van jenazah kepada masjid tempatan; sumbangan Hub Pemulihan, Sri Stella sebanyak RM1 juta dan sumbangan Koridor Respiratori Pantai Timur, Hospital Tawau (RM500,000).
Hajiji telah menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada semua penerima.
Kerajaan Negeri komited untuk terus merangka dan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi, mampan dan inklusif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Sempena majlis itu, beliau turut mengambil peluang beramah mesra dengan penerima SYUKUR DUN Balung.
Seramai 234 daripada 665 penerima SYUKUR DUN Balung menghadiri program ini.