Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Penyanyi berbakat kelahiran Sabah, Velvet Aduk, berharap album terbaharunya berbahasa Dusun berjudul ‘Ogingol’ mampu mencetuskan minat dan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menghargai bahasa ibunda.
‘Ogingol’, yang bermaksud ‘cantik’ dalam dialek Dusun Inobong, Penampang, memuatkan sembilan lagu yang mencerminkan cinta mendalam Velvet terhadap budaya, khususnya bahasa Dusun dan Kadazan, yang kaya dengan variasi dialek di seluruh Sabah.
“Album ini adalah cara saya mempromosikan dan memelihara budaya saya, seperti yang kita lakukan setiap tahun semasa Kaamatan.
“Bagi saya ia lebih daripada sekadar muzik. Ia adalah satu proses pembelajaran, satu bentuk penghargaan, dan cara saya memberi semula kepada komuniti.
“Saya berharap album ini akan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai bahasa ibunda mereka melalui muzik,” kata pemenang tempat kelima Akademi Fantasia musim 4 (AF4).
Velvet, yang juga pelantun lagu ‘Sumandak Sabah’ dan ‘Oi Gaman’, menjelaskan bahawa sebahagian besar lagu dalam album ini ditulis dan digubah sendiri olehnya. Album ini juga menampilkan kerjasama erat dengan rakan muzik lamanya, Brandon Laurie, sebagai penerbit dan penyusun bersama, serta pemain gitar utama, Andy O’Mail.
Salah satu lagu dalam album ini, ‘Kaandaman’, yang ditulis oleh Brandon dalam bahasa Kadazan, menandakan debut beliau sebagai penulis lagu.
Menurut Velvet, album ‘Ogingol’ banyak diinspirasikan daripada pengalaman hidup dan bahasa pertuturan hariannya semasa membesar di kampung halamannya, Kg. Inobong, Penampang.
Istimewanya, ‘Ogingol’ membawa pendekatan yang berbeza dan segar daripada apa yang lazim didengar dalam industri muzik tempatan.
Velvet menyuntik elemen muzik kontemporari dengan susunan moden dan sentuhan peribadi, mempersembahkan lagu-lagu Dusun dalam nuansa yang lebih segar, bergaya serta mudah dinikmati, sekali gus menyerlahkan identiti muziknya yang tersendiri.
“Saya mahu lagu Dusun terdengar elegan dan berkelas. Saya gabungkan gaya peribadi dengan elemen yang mesra pendengar. Ini mungkin bukan muzik Dusun yang biasa anda dengar,” katanya.
Album ini turut menampilkan lagu duet bersama penyanyi Sabah, Arddley Nicholas, yang juga pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23, menerusi lagu berjudul ‘Nouyan’.
Dilancarkan pada 10 Mei lalu, album penuh ini kini boleh distrim di semua platform muzik digital di seluruh dunia.
Antara lagu dalam album ini adalah Ogingol (Cantik); Nokosuai (Berubah); Bolintuongon (Pening); Mintogod (Marah-Marah); Miang-Miang Keladi; Kaandaman (Memori); Nouyan ft Arddley Nicholas (Lelah); Kopiruba Wagu Insan Tadau (Bertemu kembali di suatu hari nanti); dan Koupusan Ginawo Ku (Cinta hati saya).