Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyeru agar kegiatan mencuri kabel khususnya kabel elektrik dihentikan segera kerana ia mengundang pelbagai kesulitan kepada masyarakat setempat.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, kejadian kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan bekalan terputus malah proses pemulihannya turut mengambil masa yang panjang.
“Kita harapkan supaya orang yang agak ‘nakal’ mencuri kabel untuk dijual kepada entiti-entiti tertentu janganlah mencuri kabel sebab bila kabel itu dicuri terutama sekali kabel elektrik dan sebagainya dia menyebabkan bekalan terputus atau ‘blackout’.
“Sebenarnya bila sudah ‘blackout’ ini dia bukan semudah untuk disambung macam itu saja kadang-kadang mungkin agensi yang bertanggungjawab dengan bekalan elektrik itu pun mereka ada isu dari segi budget ataupun kabel itu sendiri.
“Dia akan mengambil masa, jadi boleh bayangkan kalau bekalan terputus sehingga dua atau tiga sudah tentu memberikan suasana yang tidak selesa kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan penjenamaan semula Program Smart City Friends di sini pada Selasa.
Sabin berkata, DBKK kini dalam proses memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandaraya Kota Kinabalu dalam usaha membendung masalah dan kejadian kecurian berlaku.
Katanya, usaha itu juga adalah bagi meningkatkaan keselamatan awal di sekitar bandaraya.
“CCTV memang sudah ada, tapi bilangannya masih terhad. Yang aktif ketika ini lebih kurang 200 unit dan kebanyakannya tertumpu di kawasan Central Business District (CBD),” katanya.
Menurut beliau, peluasan sistem pemantauan ini sedang dirancang, namun memerlukan masa kerana melibatkan pelantikan konsultan dan prosedur rasmi yang tertentu.
Beliau turut menegaskan bahawa pemasangan CCTV bukan sahaja bertujuan mengurangkan kadar jenayah seperti kecurian kabel, tetapi juga membantu dalam memantau keselamatan umum dan mempercepat tindakan pihak berkuasa jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini. – SABAH MEDIA