Kota Kinabalu : Tindakan sebuah kapal nelayan tempatan yang beroperasi dalam keadaan mencurigakan membawa padah apabila ia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Labuan di kedudukan 31.6 batu nautika barat Tanjung Aru, sekitar jam 4.10 petang semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata, tangkapan dibuat ketika Kapal Peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan perairan Beting Menggalong.

“Pemeriksaan ke atas kapal terbabit yang dinaiki juragan dan lima kru mendapati mereka telah melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memenuhi keperluan keanggotaan minimum yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Lebih mengejutkan katanya, dua daripada kru didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri mahupun permit kerja yang sah, sekali gus melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“kapal dan kru bersama muatan ikan campur seberat lebih kurang 900 kilogram telah ditahan kemudiannya diiringi ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM200,000” katanya.
Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang dan mengabaikan aspek keselamatan serta peraturan operasi di laut.
“Maritim Malaysia akan terus memperketatkan pemantauan, khususnya di kawasan panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan kapal nelayan ingkar terhadap peraturan yang ditetapkan,” katanya..
Oleh itu, beliau menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA