HomeUtamaStesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi kembali beroperasi pada kapasiti penuh

Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi kembali beroperasi pada kapasiti penuh

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Hanafi Mohd Ali, Normimie Diun

Foto/Video: Sabah Media/Yusof Mohamad, Mohd Zainal Zamzuri

TENOM: Selepas lebih dua tahun tergendala akibat tragedi banjir besar dan tanah runtuh pada 31 Oktober 2022, Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi (SJHTP) kini kembali beroperasi sepenuhnya dengan kapasiti maksimum 66 megawatt (MW).

Shahelmey (kiri) menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran pengoperasian semula dengan penuh kapasiti 66 MW Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi sambil diperhati Madius, Mohd Yaakob dan tetamu jemputan lain di SJHTP di sini, hari ini.

Majlis perasmian pengoperasian semula stesen tersebut hari ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, yang turut mengimbas semula perjalanan pemulihan yang mencabar sejak insiden itu berlaku.

Tiga buah turbin di SJHTP mula beroperasi penuh hari ini.

Menurut beliau, pembaikan stesen ini dimulakan sejurus selepas kejadian, dengan kerjasama erat dengan vendor-vendor yang terlibat yang membantu dalam membaik pulih stesen tersebut.

“Pada penghujung tahun 2024, satu daripada tiga turbin berjaya diaktifkan, dan menjelang April 2025, ketiga-tiganya telah kembali beroperasi penuh.

“Dengan pengoperasian semula sepenuhnya stesen ini, sebanyak 66 MW tenaga hidroelektrik kini boleh disalurkan ke Grid Sabah. Ini dijangka dapat menstabilkan bekalan elektrik, khususnya di pantai barat negeri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Semula SJHTP dan Sambutan Ulang Tahun ke-40 stesen tersebut disini, hari ini.

Shahelmey turut memaklumkan kadar jidar simpanan tenaga (reserve margin) di Sabah kini berada pada paras 12.4 peratus dan disasarkan melebihi 20 peratus menjelang Julai tahun ini.

“ Sasaran jangka panjang pula ialah mencapai 30 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bekalan elektrik di Sabah bukan hanya bergantung kepada hidroelektrik dan loji janakuasa konvensional berasaskan gas atau diesel, tetapi turut memberi penekanan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.

“Sabah kini dalam landasan untuk merealisasikan pelan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) melalui pelbagai inisiatif.

“Kita kini mempunyai kapasiti penjanaan mencecah 1,200 MW. Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular