Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan telah menjalankan pemeriksaan di Pasar Basah Sibuga Batu 8, Sandakan susulan tularnya aduan awam berhubung penjualan ikan busuk di pasar berkenaan.
KPDN Sabah dalam satu kemaskini di Facebook memaklumkan, pemeriksaan itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa melibatkan semakan di bawah beberapa akta yang dikuatkuaskan
“Antaranya Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan peniaga meletakkan penandaan harga ke atas barangan yang dijual kepada pengguna.

“Selain itu, semakan turut melibatkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi menilai sekiranya terdapat elemen penipuan terhadap pengguna berkaitan kualiti barangan.
“Turut disemak adalah melibatkan Akta Timbang dan Sukat 1972 bagi memastikan alat timbangan digunakan secara tepat dan betul,” menurut kenyataan itu di sini pada Rabu.
Tambah KPDN, hasil pemeriksaan mendapati penandaan harga ada dipamerkan oleh peniaga kepada pengguna manakala alat timbang yang digunakan masih dalam tempoh sah dan berkeadaan baik.
Selain itu, para peniaga juga telah diberikan nasihat serta amaran lisan supaya memastikan barangan yang dijual adalah segar dan mematuhi undang-undang yang berkaitan.
“Pemeriksaan serta pemantauan oleh KPDN Sandakan akan diteruskan dari masa ke semasa,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / KPDN SABAH