Putatan : Golongan belia khususnya di daerah ini terus diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif pemerkasaan yang menyasarkan peningkatan keupayaan dalam bidang keusahawanan dan pembangunan sosial.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, ia termasuklah menjadikan kawasan Mobile Food Kiosk (MFK) Peladang Putatan dijadikan sebagai ‘Gaya Street’ kedua di negeri ini.
Katanya, inisiatif pemerkasaan itu juga menekankan pembangunan keusahawanan dan sosial belia, khususnya mereka di bawah 40 tahun.
“Kita mahu menjadikan kawasan ini sebagai Gaya Street kedua bagi memberi pilihan alternatif kepada masyarakat sekitar Putatan, Papar dan daerah berhampiran.
“Kawasan ini lebih luas, dengan tempat letak kereta yang mencukupi, dan suasananya sesuai untuk peniaga serta pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Hari Belia Negara yang berlangsung di sini pada Khamis di kawasan MFK Putatan.
Program anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan termasuk sukan elektronik, bola sepak, permotoran dan pertandingan dart yang beliau kata semakin digemari golongan muda di kampung-kampung sekitar Putatan.
Isquzawan berkata, program itu bukan sahaja bertujuan meraikan belia, tetapi juga sebagai langkah strategik menjadikan kawasan berkenaan sebagai tarikan ekonomi baharu.
“Dengan adanya geran sehingga RM30,000 kepada belia yang terlibat dalam bidang pertanian dan makanan, kita mahu mereka membina kerjaya sendiri.
“Pada masa sama, kita juga kenal pasti bakat dalam pelbagai bidang sukan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Isquzawan turut merakamkan penghargaan Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di atas peruntukan RM150,000 untuk menyediakan pondok niaga bagi para usahawan.
“Kita mula dengan kiosk mudah alih dan kini sedang menuju ke arah pembangunan gerai tetap, kemudahan awam, serta persembahan hiburan.
“Malah kita dalam perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjadikan kawasan ini sebagai pusat promosi makanan dan kebudayaan tempatan,” katanya.- SABAH MEDIA