Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sebanyak 327 projek daripada keseluruhan projek pembinaan yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia kini sedang berjalan lancar, 225 projek dilaporkan mendahului jadual pelaksanaan, termasuk lima projek di Sabah.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, menambah bahawa 102 projek pula berada mengikut jadual. Perkembangan ini mencerminkan kemajuan positif dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur rakyat di seluruh negara, termasuk Sabah.
Ahmad berkata demikian ketika membuat tinjauan ke Projek Contoh Pembinaan Bangunan Tambahan Fasa 2 di Sekolah Sukan Malaysia Sabah, di sini petang tadi.
Menurut beliau, tinjauan serta Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 2 Tahun 2025 dilaksanakan bagi memastikan projek pembangunan fizikal dipantau secara rapi dan berterusan, selari dengan hala tuju Kementerian Kerja Raya (KKR) 2025 ke arah pelaksanaan projek tanpa lanjutan masa (EOT).
Beliau menjelaskan bahawa daripada 855 projek yang sedang dilaksanakan, 828 berada di bawah seliaan JKR Malaysia, manakala baki 27 projek termasuk projek sekolah daif dikendalikan oleh JKR Sabah dan JKR Sarawak.
“Projek-projek ini dimiliki oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta agensi Kerajaan Persekutuan yang lain,” katanya.
Selain itu, sebanyak 382 projek dengan nilai kerja berjumlah RM8.367 bilion sedang berada dalam kategori penyenggaraan, pemulihan, ubah suai dan naik taraf (PPUN).
Sementara itu, 254 projek fizikal berjaya disiapkan dan diserahkan kepada kementerian pelanggan dengan nilai keseluruhan RM5.50 bilion, merangkumi pelaksanaan projek sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“KKR dan JKR komited untuk menambah baik proses perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek. Kontraktor bermasalah akan disenarai hitam dan tidak akan diberi lantikan semula, sementara mekanisme amaran awal serta pemantauan digital akan terus diperluas bagi mengenal pasti serta menangani isu lebih awal,” tambah beliau.
Mengenai perkembangan Pembinaan Tambahan Kemudahan Sekolah Sukan Malaysia Sabah, beliau berkata projek itu kini telah mencapai 90 peratus kemajuan dan dijangka siap mengikut jadual, iaitu pada 6 November ini.
Setelah siap, sekolah berkenaan mampu menampung sehingga 600 pelajar atlet berbanding hanya 300 pelajar ketika ini.