HomeUtamaBapa dipenjara 16 tahun, 10 sebatan rogol anak perempuan

Bapa dipenjara 16 tahun, 10 sebatan rogol anak perempuan

Read Time:1 Minute, 28 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 64 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan kerana berulang kali merogol anak kandungnya bermula ketika dia baru berusia lapan tahun.

Kejadian rogol yang berterusan sehingga mangsa berusia 16 tahun itu mengakibatkan mangsa melahirkan seorang anak yang kini berusia 10 tahun.

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan atas pertuduhan melakukan kesalahan itu pada akhir tahun 2014 di sebuah rumah tidak bernombor dalam daerah Tuaran.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa yang tidak tahan dengan perangai tertuduh membuat laporan polis pada 4 Februari tahun ini yang membawa kepada penahanan tertuduh pada hari yang sama.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung anak mangsa.

Terdahulu dalam keputusannya, hakim berkata walaupun tertuduh tidak mempunyai sabitan lampau, namun mahkamah tidak boleh mengambil memandang ringan kes itu.

Kes itu, tambahnya, memberi impak trauma yang mendalam bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada masa depan anak mangsa.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya meminta hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis meminta hukuman berat dijatuhkan berdasarkan keseriusan kesalahan yang dilakukan dan peningkatan kes serupa di Sabah.

“Sebagai bapa kandungnya, tertuduh sepatutnya memastikan kesejahteraan anaknya, bukan memusnahkan seluruh hidupnya,” kata Bryan.

Dalam kes ini, katanya, tertuduh telah merogol mangsa berkali-kali sejak berusia lapan tahun sehingga melahirkan seorang anak yang kini berusia 10 tahun.

“Kami juga ingin memaklumkan kepada Mahkamah bahawa menurut mangsa, tertuduh masih mengganggu mangsa dengan menghantar mesej lucah dan ugutan bunuh kepada mangsa dan ibunya,” katanya.

Tertuduh juga diperintahkan untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh penjara.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular