HomeUtamaDua individu didenda RM100,000 miliki 238 balak tanpa bayar royalti

Dua individu didenda RM100,000 miliki 238 balak tanpa bayar royalti

Read Time:2 Minute, 13 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang pemilik syarikat pembalakan dan pengurusnya didenda keseluruhan RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memiliki 238 batang balak tanpa royalti kepada kerajaan negeri.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman tersebut terhadap
Yun Ket Chun dan Tiong Chee Khong selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.

Yun dan Tiong masing-masing didenda RM50,000 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Kedua-duanya telah melunaskan denda tersebut.

Mereka disabitkan kesalahan memiliki balak dengan isipadu 630.17 meter padu tanpa kuasa atau hak yang sah di sisi undang-undang, pada jam 10.30 pagi, 7 Februari 2020 di tempat penyimpanan balak dalam Hutan Simpan Sipitang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan 1968 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(2)(b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 12 orang saksi, manakala pihak pembelaan memanggil tiga saksi.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas empat pertuduhan membalak secara haram dan memiliki balak secara tidak sah di Sipitang pada 21 Jun 2023.

Pada 18 Disember 2024, mereka telah dibebaskan daripada tiga pertuduhan berkaitan penebangan 707 batang balak secara haram di kawasan Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di Sipitang tanpa perlu membela diri.

Dalam rayuan hukuman, peguam bela Aaron Mark Pius yang mewakili tertuduh antara lain memohon agar hukuman minimum dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan ini adalah kesalahan pertama mereka.

Aaron juga berhujah bahawa balak yang ditebang itu telah diperoleh secara sah dan tidak berkaitan dengan sebarang kemusnahan alam sekitar.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perhutanan Sabah, Peter Jack Empah, memohon hukumsn yang setimpal dan bersifat pencegahan dikenakan, agar ia dapat memberi mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan seperti ini tidak akan dikompromi oleh Mahkamah.

Hujahnya, kesalahan yang dilakukan bukan sahaja melibatkan pelanggaran undang-undang, tetapi juga memberi kesan terhadap hasil Kerajaan Negeri dari segi kutipan cukai.

Jumlah cukai yang tidak dibayar kepada Kerajaan negeri adalah kira-kira RM60,000.

“Tindakan tertuduh tidak membayar cukai kepada kerajaan negeri seolah-olah mencabar kewibawaan Jabatan Perhutanan Sabah selaku pihak ‘Statutori’ kepada pengurusan hasil hutan di negeri Sabah.

“Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ia akan memberi Kesan jangka Panjang kepada Masyarakat dan menggalakkan lebih ramai individu terlibat dengan kesalahan yang sama di masa hadapan,” katanya.

Pihak pendakwaan juga memohon kepada Mahkamah agar semua 238 batang balak yang terlibat dalam kes ini, dilucuthak pada Ketua Konservator Hutan selaras dengan seksyen 37(3) Enakmen Hutan 1968.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan agar semua balak yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan melalui Jabatan Perhutanan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular