Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Sabah FC bakal menampilkan lebih ramai pemain tempatan negeri ini untuk beraksi pada saingan Liga Super musim 2025/2026.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia merupakan antara kelainan yang akan ditampilkan skuad Badak pada musim baharu kali ini.
“Harapan saya selaku Presiden SAFA untuk pasukan Sabah FC pada musim ini agar dapat mempamerkan prestasi yang kompetitif.
“Apa yang kelainannya pada musim ini adalah kita akan cuba mengetengahkan lebih ramai muka-muka baru ataupun pemain-pemain tempatan yang berasal daripada Sabah menganggotai kesebelasan utama Sabah FC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Strategik antara Sabah FC dan RedOne Mobile Network di sini pada Jumaat.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, barisan pemain baharu kini belum dimuktamadkan sepenuhnya oleh pengurusan dan kejurulatihan Sabah FC.
Katanya, langkah itu merupakan antara pendekatan yang diutamakan bagi mengetengahkan lebih ramai pemain berasal negeri Sabah beraksi untuk pasukan The Rhinos.
Sementara itu, Shahelmey turut memaklumkan Sabah FC masih menggunakan khidmat Ketua Jurulatih Martin Stano pada masa ini.

“Selain itu, status pemain import yang akan bersama Sabah FC musim ini nanti kita akan muktamadkan mengikut syarat-syarat ataupun kriteria-kriteria yang ditetapkan.
“Jika mengikut keperluan ia ada sembilan orang namun pada masa ini kita ada enam orang dan sembilan itu hanyat nombor maksimum,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, Shahelmey berkata, tujuan utama kerjasama itu adalah untuk memperkukuh kehadiran digital Sabah FC melalui penggunaan teknologi komunikasi yang canggih dan inovatif, serta menyediakan platform yang lebih dekat dan interaktif kepada penyokong setia pasukan Sabah FC.
Katanya, dengan sokongan teknologi RedONE, pihaknya berharap dapat memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk aplikasi mudah alih, platform penstriman langsung, serta program interaktif yang melibatkan penyokong dan komuniti bola sepak di Sabah dan juga di seluruh negara.
“Selain itu, kolaborasi ini juga akan membuka peluang kepada pemain muda tempatan untuk mendapatkan pendedahan dan latihan yang lebih baik melalui program pembangunan bakat yang akan disokong bersama.
“Kami percaya, inisiatif ini akan membantu melahirkan pemain-pemain berbakat yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi serta memupuk semangat kesukanan dan kecintaan terhadap bola sepak di kalangan generasi muda,” katanya. – SABAH MEDIA