Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Seorang jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci pada Jumaat akibat serangan jantung.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Allahyarhamah Norizah Tambonan,47, yang berasal dari Batu Pahat Johor itu meninggal dunia di Hospital Jiwar.
“Saya difahamkan Allahyarhamah tidak sempat untuk menunaikan umrah wajib, beliau berada didalam Masjid Al-Haram diserang sakit jantung, kemudian dibawa ke klinik berdekatan dan seterusnya ke Hospital Jiwar dan telah menghempuskan nafas terakhirlah di hospital tersebut.
“Jadi saya bersama seluruh warga Tabung Haji dan kerajaan merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Pusat Maklumat Operasi Makkah juga telah memaklumkan kematian kepada waris di tanah air dan menguruskan segala keperluan termasuk urusan pengebumian di Tanah Suci,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelepasan Jemaah Haji Sabah di Raia Hotel di sini pada Sabtu.
Majlis pelepasan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hadir sama Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nurlaila Said.
Mohd Na’im berkata, Ketua Pegawai Eksekutif TH telah menziarahi keluarga Allahyarhamah di Batu Pahat pagi tadi bagi menyampaikan ucapan takziah.
Katanya, sumbangan awal sebanyak RM1,500 telah disalurkan dan ia merupakan sebahagian daripada perlindungan takaful haji yang dilanggan oleh Allahyarhamah.
Menurutnya, baki akan disalurkan setelah kelulusan pihak takaful diperoleh.
“Untuk makluman, Allahyarhamah telah melanggan dua kontrak pelan perlindungan Khairat Haji TH. Oleh kerana beliau meninggal di Tanah Suci, maka perlindiungan dilipatgandakan.
“Waris yang dinamakan akan menerima keseluruhan manfaat khairat sebanyak RM48,000. YH juga akan melaksanakan ibadah badal haji bagi pihak Allahyarhamah. Ini bagi memastikan tanggungjawab ibadahnya tetap terlaksana meskipun telah dijemput Ilahi,” katanya. – SABAH MEDIA