HomeUtama137 bakal jemaah haji Sabah berlepas ke Tanah Suci

137 bakal jemaah haji Sabah berlepas ke Tanah Suci

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Seramai 137 bakal jemaah haji daripada Sabah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan KT055s malam ini.

Bakal jemaah haji itu merupakan kumpulan pertama daripada Sabah yang akan bertolak ke Tanah Suci pada jam 4.30 pagi pada Ahad menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines.

Majlis pelepasan bakal jemaah haji itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Hadir sama pada majlis pelepasan itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nurlaila Said.

Terdahulu, Mohd Na’im ketika berucap berkata, pihaknya menasihati para tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi saranan daripada pihak Tabung Haji (TH) dan segala peraturan pihak Kerajaan Arab Saudi demi kesejahteraan para jemaah.

“Bakal jemaah haji negeri Sabah perlu mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang Kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah. Ikuti segala arahan TH dan fokus kepada ibadat untuk mencapai haji mabrur,” katanya.

Penerbangan pertama bakal haji Sabah itu merupakan penerbangan ke-55 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji yang disediakan untuk membawa seramai 31, 600 orang bakal haji Malaysia bagi Musim Haji 1446H/2025M.

Seramai lebih 15,000 orang bakal haji negara kini telah berada di Tanah Suci.

Penerbangan bakal haji dari Sabah ini akan bergabung dengan bakal haji dari Selangor seramai 147 orang, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 284 orang. 

Mereka akan berlepas daripada KLIA menaiki pesawat MH8126 dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 8.25 pagi waktu Arab Saudi pada hari yang sama.

Bagi musim haji 1446H/2025M, Sabah mencatatkan keseluruhan jemaah seramai 962 orang di mana 395 orang terdiri daripada jemaah lelaki dan 567 orang adalah jemaah wanita. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular