HomeUtamaBTK diiktiraf pertandingan tahunan Kaamatan, perkukuh platform budaya lelaki KDMR

BTK diiktiraf pertandingan tahunan Kaamatan, perkukuh platform budaya lelaki KDMR

Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK), yang kini memasuki edisi ke-18, kini secara rasmi diiktiraf sebagai pertandingan tahunan di bawah Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri Sabah.

Pengerusi penganjur BTK, Casey Jovial, berkata pengiktirafan rasmi tersebut memperkukuh peranannya sebagai platform budaya lelaki Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) yang semakin signifikan di peringkat negeri.

“Ini satu pengiktirafan besar, bukan hanya kepada pertandingan ini, tetapi kepada usaha semua pihak, dari daerah ke negeri, yang selama ini komited mempertahankan nilai budaya lelaki dalam masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR),” katanya sempena pendaftaran peserta BTK 2025 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah pagi tadi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, dan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apison, atas sokongan penting mereka terhadap acara ini.

Seramai 49 peserta mewakili daerah, daerah kecil dan cawangan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) akan merebut gelaran juara edisi 2025. Pertandingan akhir dijadualkan berlangsung pada 29 Mei ini di dewan KDCA, Penampang dengan hadiah keseluruhan yang bakal dimenangi bernilai RM100,000.

Dalam ucapannya, Casey mengingatkan bahawa setiap peserta yang hadir telah pun membuktikan diri sebagai duta budaya terbaik bagi komuniti masing-masing.

Menurutnya, BTK bukan sekadar pertandingan pentas, tetapi sebuah platform budaya yang bertujuan mengangkat semula peranan tradisional lelaki KDMR sebagai pemimpin berani, bertanggungjawab dan berteraskan warisan nenek moyang.

“BTK bukan pertandingan biasa. Ia adalah satu platform perpaduan dan perjuangan budaya, tempat kita mendidik, mendalami, dan memartabatkan semula nilai lelaki dalam kebudayaan KDMR. Dan hari ini, kehadiran anda semua peserta, pengurus, dan tokoh-tokoh budaya membuktikan bahawa warisan ini masih kita sayang dan kita masih mahu pertahankan.

“Namun kita juga kena jujur. Aspek budaya lelaki, terutamanya dari segi pemakaian tradisional, dokumentasi, dan pembinaan naratifnya, masih sangat kurang diberi perhatian. Dan di sinilah kita semua berperanan. Kalau bukan kita yang mulakan, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?”

Beliau menegaskan bahawa usaha kecil yang dilakukan hari ini akan memberi kesan besar pada masa hadapan.

“Apa yang kita buat hari ini mungkin nampak kecil. Tapi percayalah, tindakan kecil inilah yang akan memberi kesan besar pada masa depan. Kita tidak mahu budaya ini hilang perlahan-lahan hanya kerana kita semua terlalu sibuk atau terlalu senyap,” katanya.

Casey turut menyeru semua peserta agar terus menggalas misi memartabatkan identiti lelaki KDM dan memastikan kesinambungan nilai budaya dalam generasi akan datang.

“Kepada semua peserta anda bukan sekadar bertanding. Anda sedang menyambung perjuangan. Anda sedang menjadi wakil kepada generasi akan datang, supaya mereka tahu bahawa lelaki dalam budaya KDMR bukan sekadar penonton dalam perayaan, tetapi tokoh yang membawa nilai, pemikiran, dan kepimpinan,” katanya.

Menurut Casey, BTK akan terus menghargai sumbangan individu yang banyak membantu di sebalik tabir penganjuran acara ini menerusi beberapa anugerah khas.

Antara anugerah yang akan diberikan termasuk Anugerah Manifesto kepada alumni yang berjaya melaksanakan tugasan selepas memenangi gelaran juara; Anugerah Jasamu Dikenang bagi kategori muzik; Anugerah Pengurus Terbaik; serta Anugerah Penganjur BTK Daerah Terbaik.

“Tahun ini, kita juga akan memperkenalkan dua anugerah baharu yang akan diumumkan semasa malam akhir nanti,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular