Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa status keahlian Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, dalam UMNO masih digantung dan bukan dipecat.
Beliau berkata, selain Shahelmey, beberapa pemimpin UMNO Sabah lain turut dikenakan tindakan yang sama dan belum dipecat daripada parti.
“Status mereka ialah digantung, bukan dipecat dan bukan juga keluar parti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Gerak 17 Dun Karambunai, Sepanggar pada Sabtu.
Ditanya mengenai peluang Shahelmey dan yang lain untuk bertanding semula atas tiket UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Zahid berkata perkara itu akan diputuskan oleh kepimpinan UMNO Sabah.
“Itu bergantung kepada kebijaksanaan Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya merujuk kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.