Kota Kinabalu : Skim Insurans Rakyat Sabah yang diperkenalkan Kerajaan negeri selain beberapa inisiatif kebajikan rakyat bukanlah ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebuah inisiatif termasuk skim yang baik untuk rakyat tidak seharusnya menunggu PRN baru ia dilaksanakan.
“Kalau kita semua sandarkan setiap skim yang baik untuk pilihan rakyat, kita tidak akan bergerak atau kita menunggu pilihan raya baru kita membuat sesuatu.
“Jadi saya fikir ini bukan sesuatu yang bagi saya tidak logik. Seperti yang saya nyatakan, kita tidak menunggu pilihan raya untuk kemalangan berlaku. Jadi saya rasa kita perlu melihat skim ini dalam perspektif yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Inisiatif Skim Insurans Rakyat Sabah di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Masidi berkata, seramai 2.7 penduduk negeri ini alan menerima manfaat perlindungan menerusi pelancaran skim berkenaan.
Katanya, skim itu merupakan inisiatif pertama yang dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa perlu memohon.
“Kaedah tuntutan juga adalah mudah. Boleh menuntut sama ada di pejabat Majlis Daerah ataupun di cawangan syarikat perlindungan insurans.
“Pelaksanaan skim ini adalah melibatkan peruntukan RM50 juta untuk tempoh tiga tahun dengan premium serendah RM7 seorang.
“Jadi pada dasarnya kita laksana berdasarkan RM7 satu premium. Jadi bagi saya, kita belum pernah perkenalkan satu jaminan daripada sosial sekuriti atau jaminan keselamatan sosial.
“Ini adalah pertama kali yang kita harapkan. Ini adalah permulaan kepada lebih banyak skim ataupun perlindungan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha menguar-uarkan maklumat mengenai skim itu akan dipergiat bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasar terutama masyarakat di luar bandar. –SABAH MEDIA