HomeUtamaESSCOM rancang tambah pos pertahanan, perkukuh kawalan keselamatan

ESSCOM rancang tambah pos pertahanan, perkukuh kawalan keselamatan

Read Time:1 Minute, 30 Second

Kota Kinabalu: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bercadang menambah bilangan Pos Kawalan Pertahanan dalam usaha memperkukuh keselamatan di kawasan berkenaan, khususnya di Sabah Timur.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, aspek keselamatan kekal menjadi fokus utama agensi itu demi memastikan kedaulatan dan kedamaian negeri terus terpelihara.

“Pembinaan pos baharu akan dilaksanakan di lokasi yang dikenal pasti perlu diperkukuh dari aspek pertahanan.

“Selain itu, ESSCOM turut meningkatkan keupayaan dengan penggunaan teknologi semasa, terutamanya Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di sini pada Jumaat.

Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan barisan pengurusan tertinggi ESSCOM serta menyampaikan taklimat tentang situasi semasa keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Victor berkata, ESSCOM akan melaksanakan penjenamaan semula meliputi logo, peta serta perubahan warna bendera daripada maroon kepada putih, bagi menzahirkan imej kawasan yang menjana kesejahteraan, selaras dengan motonya, ‘Bersama-sama Menjana Kesejahteraan’.

Di samping itu, Victor berkata ESSCOM bersama agensi keselamatan lain akan memperkukuhkan kawalan keselamatan menjelang Pilihan Raya Negeri bagi mengelak sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Jamaluddin Mohd Ali berkata pihaknya mengenal pasti lapan projek yang akan dilaksanakan di bawah Inisiatif Kampung Angkat Madani.

“Senarai projek telah dihantar kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan antaranya termasuk pembinaan jeti, pembaikan jalan raya dan sekolah bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Selain itu, terdapat juga projek bina insan yang dirancang dengan kerjasama Giat MARA menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk pembaikan bot dan enjin sangkut, memandangkan kawasan itu adalah kawasan perikanan yang boleh dibantu untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk,” jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin; Pengarah Bahagian Tindakan Awam, Georgie Abas; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Mohd Dzulhairul Shah Dzulkifli; dan Pengarah Bahagian Khidmat Keurusetiaan, Imelda Godon.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular