HomeUtamaIlmu dan teknologi kunci kejayaan anak muda – Masiung

Ilmu dan teknologi kunci kejayaan anak muda – Masiung

Read Time:1 Minute, 16 Second

TONGOD: Menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran teknologi merupakan kunci utama kejayaan golongan muda, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Beliau berkata, ilmu adalah senjata paling ampuh untuk mencorakkan masa depan dan membentuk kerjaya yang cemerlang.

“Sebuah negara akan mundur tanpa kemahiran ilmu dan kepakaran teknologi rakyatnya,” katanya ketika merasmikan Program Ceramah Motivasi SMJ 2025 di Dewan Tertutup Majlis Daerah Tongod, pada Khamis.

Menurut Masiung, belia yang cemerlang dalam bidang pendidikan berpotensi menjadi penggubal dasar dalam sistem pentadbiran negara.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, anak muda yang memiliki kemahiran tinggi serta ijazah dalam bidang tertentu boleh menjadi arkitek moden dalam pembangunan negeri dan negara.

Beliau turut menggesa golongan muda di daerah itu agar bijak merebut peluang pendidikan dan kerjaya yang disediakan kerajaan.

Katanya, satu yayasan khusus dikenali sebagai Yayasan Pendidikan Tongod (YPT) akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi membantu anak muda cemerlang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

“YPT diwujudkan untuk memberi peluang kepada pelajar cemerlang di Tongod melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan luar negara,” katanya.

Jelasnya, YPT merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Borneo Cement Sabah (BCS) Sdn Bhd, syarikat yang kini sedang membina kilang simen di Kampung Kawayoi, Tongod.

Tambahnya, selain menjana ekonomi, projek itu juga akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas untuk penduduk sekitar.

Seramai lebih 300 peserta terdiri daripada golongan muda, pelajar dan wakil pertubuhan masyarakat menyertai program ceramah motivasi tersebut.

Program berkenaan dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institusi Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Pemerkasa.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular