Kota Kinabalu : Program penanaman 12,000 fragmen terumbu karang di Taman Tun Mustapha (TTM), Kudat, kini dalam proses pengiktirafan oleh ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) sebagai yang terbesar di negara ini.
Melibatkan 1,000 rangka logam dipasang dua kilometer dari Tanjung Simpang Mengayau berhampiran Pulau Kalampunian, inisiatif ini disertai 60 penyelam profesional dan 250 peserta bukan penyelam, dibantu lima bot penghantar.
Pensijilan oleh MBOR dijangka selesai pada Ahad sebelum penyerahan Sijil Pengiktirafan kepada Taman-Taman Sabah (TTS) pada Isnin sempena pelancaran bertemakan ‘Unite for Oceans’, yang akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew di Dewan Tun Mustapha, Kudat.

Christina memuji TTS atas usaha pemulihan marin terbesar itu dan menyifatkannya sebagai produk pelancongan baharu yang mampu menyerlahkan lagi keindahan Kudat.
Pengarah TTS, Dr Maklarin Lakim berkata, program dua minggu ini melibatkan komuniti tempatan dan pelbagai pihak, serta menggunakan kaedah Mars Assisted Reef Restoration System (MARRS) yang merangkumi sembilan fasa pemulihan, dari penilaian habitat hingga pemantauan berterusan.
Sebanyak 723 daripada 1,000 Reef Stars telah berjaya dipasang sehingga 16 Mei, dengan baki dijangka selesai dalam masa terdekat.
Turut hadir dalam kunjungan hormat ke pejabat menteri ialah pegawai kanan TTS termasuk Fazrullah Rizally Abdul Razak, Ak Mohd Rodzan Pg Dahlan, Norhaslam Adin dan Ivycleire Edward.