HomeUtamaKerajaan Negeri akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah

Kerajaan Negeri akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah

Read Time:3 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah menjadikannya platform undang-undang untuk mengukuhkan pengurusan organisasi belia, memperluas pengiktirafan terhadap aktivisme belia dan memastikan ruang yang lebih teratur untuk pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, menerusi enakmen itu pihaknya mahu supaya setiap pemimpin belia diberikan masa, ruang, dan sokongan untuk memimpin dengan yakin dan terus menyumbang kepada negeri tanpa diketepikan akibat perubahan dasar.

“Dengan enakmen ini, kami ingin supaya setiap pemimpin belia diberikan masa, ruang, dan sokongan untuk memimpin dengan yakin dan terus menyumbang kepada negeri tanpa diketepikan akibat perubahan dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Belia Nasional peringkat negeri di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.

Hajiji berkata, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KKBS) dan Majlis Belia Sabah (MBS) telah diberi tanggungjawab untuk meneliti perkara ini termasuk isu dasar peralihan umur belia.

“KKBS dan MBS akan melakukan kajian menyeluruh mengenai dasar peralihan umur belia kerana isu ini perlu dikaji secara mendalam, mengambil kira struktur sosial, kematangan organisasi, dan realiti di lapangan, terutamanya di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pembangunan belia di Sabah akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri termasuk menyediakan kemahiran dan alat yang diperlukan untuk memimpin negeri pada masa depan.

“Dibawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), Kerajaan Negeri telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan untuk pembangunan belia.

“Kestabilan politik telah membuka ruang kepada pembangunan berterusan dan dasar berpaksikan rakyat, termasuk dalam aspek pembangunan belia,” katanya.

Menurutnya, Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dalam ucapan dasar kerajaan turut menekankan bahawa pembangunan belia perlu diberi keutamaan, khususnya dalam kerangka negeri termasuk dalam aspek pendidikan, kemahiran dan kepimpinan.

“Oleh itu, kerajaan negeri sentiasa mengambil kira aspirasi belia, termasuk usaha untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

“Ini adalah untuk memastikan bahawa apabila tiba masanya untuk generasi muda mengambil alih tampuk kepimpinan, mereka akan layak dan mampu membawa negeri dan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah melancarkan beberapa inisiatif dan program bantuan pendidikan yang telah memberi manfaat kepada pelajar di negeri ini.

Katanya, inisiatif baharu seperti Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES) juga telah diperkenalkan bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi dan menyokong kegiatan sekolah.

Menurutnya lagi, inisiatif-inisiatif ini adalah antara 13 inisiatif pendidikan yang diberikan kepada pelajar, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negeri, dengan jumlah RM75.5 juta.

“Inisiatif lain yang telah dilaksanakan dan diteruskan tahun ini termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), dan Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY).

“Dalam aspek pembangunan kemahiran, Kerajaan Negeri terus memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program latihan teknikal di negeri ini.

“Lebih daripada 179 kursus dalam bidang sains, teknologi, inovasi, dan bahasa telah dijalankan tahun lepas, dengan lebih 35,000 pendaftaran. Kami juga menggalakkan belia untuk menceburi industri minyak dan gas di Sabah yang sedang berkembang bagi meningkatkan kemahiran mereka dan memenuhi permintaan masa depan sektor tenaga,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada pembangunan belia dalam bidang sukan melalui pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan seperti kompleks sukan, arena belia dan gelanggang serbaguna di kawasan luar bandar yang kini dimanfaatkan oleh komuniti setempat.

Pada masa sama, katanya, program berimpak tinggi seperti Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) dan Dewan Belia Negeri Sabah yang dilaksanakan bersama Majlis Belia Sabah, serta Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS), menyediakan platform yang sangat baik untuk golongan belia mengasah kemahiran dalam ekosistem kepimpinan dan tadbir urus negeri.

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap Majlis Belia Sabah yang disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sebagai badan utama dan tulang belakang gerakan belia negeri.

“Oleh itu, saya mahu Majlis Belia Sabah terus memimpin golongan belia di seluruh negeri dengan penuh dedikasi dan terus memperkenalkan inisiatif dan program yang terbaik, relevan dan inklusif bagi pembangunan menyeluruh generasi muda negeri ini,” katanya.

Hajiji menggesa golongan belia untuk terus bersama kerajaan dan menyokong semua inisiatif demi manfaat mereka dan kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi melalui kerjasama dan sokongan berterusan. Ini adalah penting untuk kelancaran pelaksanaan pembangunan di negeri Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular