Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : “Jika dulu saya uruskan urusan haji untuk ibu pada 2009, kini giliran saya pula dipilih menjadi tetamu Allah,” kata bakal jemaah haji Zaleha A Aziz, 55.
Zaleha yang juga pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, beliau mula membuat simpanan di Tabung Haji (TH) pada 2006 menerusi kaedah potongan gaji.
Meskipun mula membuat tabungan pada tahun berkenaan namun beliau mengakui tidak mengetahui perlu mendaftar haji meskipun sudah menyimpan di TH.
“Saya mula menyimpan dalam akaun TH sekitar tahun 2005 hingga 2006 dengan potongan gaji sebanyak RM100 sebulan, berdasarkan kemampuannya ketika itu. Namun, semuanya berubah ketika saya menguruskan ibu untuk menunaikan haji pada tahun 2009.
“Pada ketika itu, kakitangan TH bertanya sama ada saya sudah mendaftar atau belum dan saya memaklumkan tidak pasti. Apabila disemak saya belum lagi mendaftar dan saya minta untuk didaftarkan kerana pada ketika itu juga jumlah simpanan telah mencukupi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan jemaah haji bagi kumpulan pertama negeri Sabah di Raia Hotel di sini pada Sabtu.
Majlis pelepasan bakal jemaah haji itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Hadir sama pada majlis pelepasan itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nurlaila Said.
Zaleha yang berasal dari Putatan berkata, beliau dimaklumkan tahun jangkaan bagi menunaikan haji adalah pada tahun 2027 namun bersyukur apabila dijemput menjadi tetamu Allah lebih awal.
“Saya rasa syukur dan sedikit sebak, kerana ibu saya terpilih pada kali ini,”katanya.
Dalam pada itu, Zaleha menyeru agar umat Islam yang telah membuat simpanan di TH agar turut sama mendaftar bagi menunaikan ibadah haji.
“Ramai sangka bila sudah buka akaun, automatik akan dapat pergi haji. Tapi sebenarnya kena daftar dulu. Jangan tunggu lama. Semak akaun, daftar awal,” katanya. – SABAH MEDIA