Kota Kinabalu : Borneo Native Festival (BNF) bakal mewarnai Pasar Seni Kuala Lumpur yang merupakan antara festival dinantikan komuniti Borneo di Semenanjung bermula 23 Mei ini.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu diisi dengan pelbagai pengisian budaya, jualan produk tempatan dan persembahan seni.
Ia juga turut membuka ruang besar kepada usahawan sosial dan kraf tempatan untuk memasarkan produk mereka ke ibu kota.
Pengarah acara, Raffy Syazwan, jumlah jualan disasarkan antara RM200,000 hingga RM300,000 pada tahun ini.
“Lebih 20 usahawan dari Sabah dan Sarawak dijangka menyertai festival ini, dengan pelbagai produk seperti makanan tradisional, kraf tangan, tekstil etnik, produk kesihatan dan minuman tempatan.
“Kami melihat peningkatan sambutan dari tahun ke tahun. Tahun lalu jumlah pengunjung mencecah lebih 90,000 orang dan tahun ini kami sasarkan lebih 100,000. Ramai usahawan mencatat jualan belasan hingga puluhan ribu ringgit hanya dalam tiga hari,” katanya kepada media di sini pada Jumaat.
Antara tarikan utama BNF 2025 ialah persembahan tarian flash mob kebudayaan “Datun Julud” yang merupakan tarian tradisional masyarakat Kenyah dari Sarawak.
Flash mob ini akan melibatkan ratusan penari dari pelbagai latar belakang, bermula dari TRX hingga Pavilion sebelum berakhir di Pasar Seni.
Ia dijangka menarik perhatian orang awam dan pelancong antarabangsa yang sedang berkunjung ke ibu kota.
“Tarian Datun Julud ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol penyatuan dan warisan budaya masyarakat Borneo yang kaya.
“Ia menjadi salah satu cara kami menarik perhatian generasi muda dan pelancong antarabangsa untuk lebih mengenali budaya Sabah dan Sarawak,” tambahnya.
Festival itu turut diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal dari Borneo seperti Alena Murang, Belle Sisoski, dan Dabra Sia, selain peragaan busana etnik, pertandingan tarian tradisional, demonstrasi memasak makanan asli serta forum keusahawanan sosial.
Dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Perpaduan Negara, Lembaga Pelancongan Sabah, dan pelbagai agensi negeri, BNF bukan sekadar festival kebudayaan, tetapi turut berperanan sebagai pra-kempen untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
BNF 2025 bakal membuka pintunya kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut, dan dijangka menjadi perayaan budaya terbesar untuk komuniti Borneo di luar negeri asal mereka.