Putrajaya – Polis Kuala Lumpur telah merakam keterangan tiga anak kepada Pamela Ling dalam usaha meneruskan siasatan kehilangan wanita itu sejak awal April lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketiga-tiga anak mangsa yang berumur antara 18 hingga 20 tahun dirakam keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Woodlands, Singapura semalam.
“Keterangan ini penting untuk membantu siasatan terutama berkaitan pergerakan terakhir wanita berkenaan. Berdasarkan maklumat, beliau masih berhubung dengan ahli keluarga pada 8 dan 9 April,” katanya lapor Harian Metro ketika ditemui dalam satu program di PPR Desa Rejang.
Polis turut mengambil keterangan daripada seorang kenalan keluarga yang berada di republik tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah dirakam keterangan setakat ini kepada 42 orang.
Rusdi berkata, setakat ini tiada petunjuk konkrit mengenai keberadaan Pamela, namun berdasarkan rekod, wanita itu masih berada dalam negara.
“Kalau ikut rekod, dia masih dalam negara tetapi ada juga kemungkinan pergerakan dilakukan tanpa melalui laluan rasmi. Dia mungkin masih di sini, tetapi kita tidak tolak kemungkinan dia telah keluar negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, suami kepada Ling yang ditahan Khamis lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari berikutnya selepas selesai memberikan keterangan.
“Penahanan beliau adalah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. Kita belum mengklasifikasikan beliau sebagai suspek, namun beliau boleh dipanggil semula bila-bila masa sekiranya ada perkembangan baharu,” jelas Rusdi.
Pamela Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April lalu ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menaiki kenderaan e-panggilan untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang dijalankan terhadap dirinya dan suaminya, Hah Tiing Siu.
SPRM sebelum ini mengesahkan telah membuka siasatan ke atas pasangan tersebut sejak tahun lalu.