KOTA KINABALU: Penggubalan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang diumum Ketua Menteri Sabah menepati hasrat golongan belia di negeri itu.
Menurut Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, beliau berharap enakmen yang dirangka berdasarkan cabaran sosio-demografi dan struktur kepimpinan organisasi belia sedia ada di negeri itu bakal menyelesaikan isu berbangkit termasuk penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang akan dikuatkuasakan di peringkat nasional mulai 1 Januari 2026.
“Enakmen Pembangunan Belia Sabah merupakan manifestasi terhadap hasrat belia Sabah yang berhadapan dengan cabaran sosio-demografi dan struktur kepimpinan organisasi belia sedia ada, berbeza dengan negeri-negeri lain.
“Kesan daripada cabaran ini kita menyaksikan penglibatan belia dalam aktiviti kelab, persatuan, dan kesukarelaan hanya terbatas pada kadar 15 peratus daripada populasi keseluruhan belia.
“Kami berharap agar penggubalan enakmen ini menyelesaikan isu-isu berbangkit yang menyentuh kepentingan belia Sabah, termasuk penurunan had umur belia kepada 30 tahun di peringkat nasional yang jelas membelakangi cabaran kami di Sabah”, kata Abqaree dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Abqaree pada masa sama turut menekankan bahawa langkah penggubalan enakmen itu juga amat penting sebagai gambaran terhadap identiti, cabaran, dan keperluan belia Sabah yang unik dari sudut aspek kepelbagaian kaum, agama, dan budaya yang perlu disantuni secara berhemah mengikut acuan negeri itu sendiri.
“Berbeza dengan negeri-negeri lain, keunikan sosio-demografi belia Sabah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, agama, dan budaya perlu disantuni secara berhemah mengikut acuan kita sendiri.
“Enakmen ini bakal mencerminkan identiti, cabaran, dan keperluan belia Sabah secara keseluruhan”, ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan menyediakan Pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 2026-2030, berdasarkan kejayaan perlaksanaan SMJ 1.0 yang berperanan sebagai jaringan sokongan sosial terhadap pembangunan belia di negeri itu khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu ucapan sewaktu Sambutan Hari Belia Kebangsaan Peringkat Sabah pada Sabtu mengumumkan akan menggubal Enakmen Pembangunan Belia Sabah bagi mengukuhkan pengurusan organisasi belia di negeri itu.
Menurut beliau, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), dan MBS akan dipertanggungjawabkan bagi meneliti perkara tersebut termasuk isu dasar peralihan umur belia.