HomeUtamaHajat suami isteri tunai haji bersama selepas hampir 16 tahun tercapai

Hajat suami isteri tunai haji bersama selepas hampir 16 tahun tercapai

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Penantian pasangan suami isteri hampir 16 tahun untuk menunaikan ibadah haji tercapai apabila menerima panggilan menjadi tetamu Allah pada musim haji 1446H/2025M.

Bagi Kamarudin Sanudin,52, dan isterinya Suzana Salimi,47, mereka telah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji bersama pada tahun 2009.

Kamarudin berkata, beliau mula menyimpan di Tabung Haji (TH) sejak tahun 1986 ketika dibangku sekolah apabila pengurusan TH datang ke sekolahnya untuk memberi penerangan dan kebaikan menyimpan di TH.

“Sebenarnya saya mula menyimpan di TH selepas pihak mereka datang ke sekolah dan memberi serba sedikit mengenai kebaikan menyimpan dan berkaitan haji pada tahun 1986 dan sejak itu saya mula menyimpan.

“Dan saya mendaftar haji pada tahun 2009. Setelah 16 tahun ni, baru mendapat panggilan haji iaitu pada penghujung Disember 2024.  Alhamdulillah, panggilan sekali dengan isteri saya sebab kami pun memang mendaftar bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan jemaah haji bagi kumpulan pertama negeri Sabah di Raia Hotel di sini pada Sabtu.

Majlis pelepasan bakal jemaah haji itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Hadir sama pada majlis pelepasan itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nurlaila Said.

Sementara itu, isterinya Suzana turut mengakui bersyukur dan sukar digambarkan apabila dapat menunaikan haji bersama-sama suaminya.

“Memang sangat rasa bersyukur, Alhamdulillah, sebab kita tidak sendirian dan mendaftar bersama-sama. Suami saya yang daftarkan untuk saya.

“Saya menyimpan lambat sedikit sebab kesedaran terlambat sikit. Tapi sejak saya buka akaun TH, saya mula simpan. setiap bulan, potong gaji terus. Jadi ada jumlah yang saya tetapkan, setiap bulan akan masuk dalam TH,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perasaan dapat panggilan haji, pasangan suami isteri itu terharu dan sebak kerana dipilih menjadi tetamu Allah.

“Susah nak digambarkan dengan kata-kata. Saya rasa sangat bersyukur sebab panggilan ini tidak semua orang dapat. Saya ramai kawan-kawan ingin merayu, sanggup bayar penuh, tidak dapat.

“Jadi kami ini yang dapat, kami sangat-sangat bersyukur apatah lagi kita diuruskan oleh satu organisasi yang sangat teratur, sistematik. Jadi ini memang kami mengharapkan haji yang mabrur,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular