HomeUtamaTiga lagi batalion baharu PGA diwujudkan iaitu Keningau, Kunak dan Sri Aman

Tiga lagi batalion baharu PGA diwujudkan iaitu Keningau, Kunak dan Sri Aman

Read Time:2 Minute, 36 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Penambahan tiga batalion baharu Pasukan Gerakan Am (PGA) masing-masing di Keningau, Kunak dan Sri Aman (Sarawak) memperkukuh lagi kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani cabaran keselamatan semasa, sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhan batalion kepada 23 dengan lebih 12,000 anggota.

Saifuddin dan Razarudin merakamkan gambar bersama anggota Batalion PGA selepas majlis peluncuran tiga batalion PGA baharu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peluncuran batalion ke-21, ke-22 dan ke-23 itu membuktikan komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Signifikan pelancaran hari ini ada tiga perkara utama. Pertama, ia mengesahkan tahap kesiapsiagaan pasukan untuk berdepan apa jua senario, cabaran mahupun ancaman keselamatan.

“Kita tahu Sabah pernah berdepan peristiwa hitam lebih 10 tahun lalu. Justeru, kita tidak boleh ambil mudah. PGA mesti sentiasa bersiap siaga dalam segala keadaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Batalion 21 PGA Keningau, Batalion 22 PGA Kunak Dan Batalion 23 PGA Sri Aman di PGA Briged Sabah di sini, pada Ahad.

Menurutnya, aspek kedua yang ditekankan ialah komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan sokongan kepada pasukan dari segi kebajikan anggota serta penyediaan kemudahan yang kondusif.

“Selain penyediaan tempat tinggal dan pejabat yang selesa, kita juga menambah peruntukan bagi pembelian aset. Kita tidak mahu hanya sumber manusia yang terlatih tetapi gagal didokong dengan kelengkapan yang mencukupi,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, aspek ketiga yang paling signifikan adalah kejayaan Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai antara negara paling selamat di dunia.

“Dalam Indeks Keamanan Global, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-10 daripada lebih 160 negara. Ia bukan datang bergolek, sebaliknya hasil perancangan dasar keselamatan yang jelas dan pelaksanaan yang konsisten.

“PDRM dan PGA adalah antara penyumbang utama kejayaan ini. Ini penting kerana ia menjadi indikator utama kepada pelabur luar. Mereka mahu pastikan pelaburan mereka berada dalam negara yang stabil dan selamat,” katanya.

Dalam sesi sidang media sama, Saifuddin turut menjelaskan pemilihan lokasi tiga batalion baharu dibuat berdasarkan penilaian strategik oleh kepimpinan tertinggi PDRM.

“Kenapa di Sabah ada tujuh batalion, Sarawak ada empat, dan selebihnya di Semenanjung, itu berdasarkan keperluan semasa serta penilaian menyeluruh oleh pihak polis.

“Yang penting ialah fungsi PGA sebagai satu pasukan elite dalam PDRM yang menjaga keamanan ketenteraman awam. Justifikasi lokasi tertumpu kepada keperluan keselamatan negara secara menyeluruh, bukan mengikut kawasan atau negeri semata-mata,” ujarnya.

Tambah beliau, PGA kini beroperasi secara menyeluruh di darat, laut dan udara, dan telah membuktikan kecekapan menerusi pelbagai kejayaan operasi, termasuk dalam Op Hazard: E-Waste yang mencatat rampasan bernilai berbilion ringgit.

“Kita juga sedang mempertingkatkan keupayaan pasukan menerusi penerapan inovasi dan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI), sebab itu tagline kami di KDN adalah ‘AI for KDN, KDN for AI’,” jelasnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan keupayaan pasukan keselamatan negara tidak boleh bersifat statik, sebaliknya perlu sentiasa disesuaikan dengan bentuk ancaman yang semakin kompleks.

“Isu keselamatan hari ini rencam dan berubah. Justeru, pertambahan batalion dan kekuatan anggota perlu seiring dengan latihan, aset, dan penguasaan teknologi,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta barisan tertinggi Kementerian Dalam Negeri dan PDRM.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular