Kota Kinabalu : Sambutan Pesta Kaamatan merupakan sumber ekonomi budaya yang berpotensi besar dalam memperkasa penggiat seni, komuniti kreatif, usahawan tempatan dan pengamal warisan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, program dan persembahan kebudayaan yang dilaksanakan menjadi wadah penting dalam mengekspresikan identiti dan warisan budaya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, generasi muda kini dilihat semakin celik budaya dan bersedia untuk memikul tanggungjawab bagi mempertahankannya.

“Kota Kinabalu sebagai pusat pentadbiran negeri memainkan peranan penting dalam memastikan perayaan ini terus bersinar.
“Saya memuji usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) khususnya di bawah kepimpinan Datuk Bandar Kota Kinabalu Dtauk Seri Dr. Sabin Samitah, seluruh pasukannya kerana menjadikan Pesta Kaamatan bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu pengalaman yang menyentuh hati dan membina ingatan kolektif warga bandaraya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Christina turut menegaskan pentingnya memelihara nilai budaya dalam dunia yang semakin moden dan digital.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya memilih antara kemajuan dan warisan, sebaliknya kedua-duanya perlu digerakkan seiring demi mencipta kemajuan berteraskan nilai.
“Kelestarian budaya tidak akan sempurna tanpa kelestarian alam. Dalam kita meraikan Kaamatan, marilah kita sama-sama mengangkat prinsip penjagaan alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan plastik, tingkatkan kesedaran dan cintai bumi sebagaimana kita mencintai budaya,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh warga Kota Kinabalu dan rakyat Sabah untuk menjadikan Kaamatan sebagai ruang memperkuat jati diri, menyuburkan rasa hormat sesama masyarakat serta memperkukuh asas perpaduan yang telah diwarisi turun-temurun. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK