Kota Kinabalu : Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) terus memperkukuh komitmennya sebagai peneraju utama pembangunan infrastruktur negeri dengan pendekatan proaktif dan berteraskan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, peranan kementerian bukan sekadar menyediakan kemudahan asas, malah turut memikul amanah besar dalam membina kepercayaan rakyat terhadap kecekapan jabatan-jabatan di bawah KKRS.
“Kita semua menyedari bahawa keperluan asas rakyat seperti air, jalanraya, sistem pembetungan, pengangkutan keretapi, pelabuhan dan maritim amat dekat di hati rakyat.

“Selain tanggungjawab dalam memenuhi tuntutan rakyat tersebut, kita juga perlu terus membina kepercayaan rakyat bahawa jabatan-jabatan di bawah Kementerian yang melaksanakan tanggungjawab berkenaan sememangnya kompeten dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 KKRS di sini pada Jumaat.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, selain keupayaan dalam penyediaan infrastruktur, kecekapan dalam menangani setiap aduan perlu diberi perhatian serius.
“Jangan ada aduan, baharu kita bertindak. Sebaliknya, perlu sentiasa proaktif. Malah lebih menyedihkan sekiranya ada aduan yang dibiarkan tanpa sebarang tindakan penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, masih terdapat banyak ruang bagi meningkatkan lagi perancangan, inisiatif dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Oleh itu, saya ingin menyeru semua ketua jabatan di bawah KKRS agar terus memantau prestasi kakitangan di peringkat daerah. Ketua-ketua jabatan juga hendaklah sentiasa turun padang supaya dapat melihat sendiri keadaan infrastruktur dan keperluan di daerah-daerah.
“Kementerian juga perlu memantapkan peranannya dalam aspek penyelarasan jabatan-jabatan dibawahnya, khususnya dalam aspek pengalihan utiliti,” katanya. – SABAH MEDIA