Kudat : Taman Tun Mustapaha (TTM) iaitu sebuah taman marin pelbagai guna yang menjadi antara terluas di negara ini melakar sejarah baharu menerusi pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai lokasi penanaman pecahan karang terbesar di Malaysia.
Majlis pengiktirafan itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew sempena sambutan ulang tahun kesembilan pewartaan TTM, di Dewan Tun Mustapha, di sini pada Isnin.
Christina ketika berucap berkata, lebih 12,000 pecahan karang berjaya ditanam hanya dalam tempoh empat hari dengan penyertaan lebih 500 peserta termasuk penyelam profesional, komuniti kampung, pelajar serta sukarelawan.
Katanya, ia menjadikan acara itu antara usaha konservasi laut paling inklusif dan berimpak besar pernah dilaksanakan di Malaysia.
“Sebahagian besar projek ini telah dapat direalisasikan hasil daripada sumbangan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada pelbagai pihak, termasuk sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Sumbangan ini mencerminkan keyakinan pelbagai pihak terhadap usaha pemuliharaan marin di sabah dan menjadi bukti bahawa kolaborasi sektor awam dan swasta mampu menjayakan inisiatif pemulihan alam sekitar secara mampan,” katanya.
Hadir sama Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim.
Christina berkata, semangat kebersamaan yang terpancar daripada para peserta merupakan tonggak kejayaan sebenar acara berkenaan.
Katanya, projek itu bukan hanya menyumbang kepada pelaksanaan dasar kepelbagaian biologi negeri sabah, kebangsaan dan global, tetapi juga kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG).
“Antaranya SDG 13 iaitu tindakan terhadap perubahan iklim; SDG 14: pemeliharaan dan penggunaan laut secara Lestari dan SDG 17: kerjasama untuk pembangunan mampan.
“Tambahan pula, ia mencerminkan komitmen malaysia terhadap rangka kerja global biodiversiti kunming-montreal, khususnya prinsip “30 by 30”,” katanya.
Terdahulu katanya, TTM menjadi habitat kepada lebih 528 spesies ikan, 250 spesies karang, tiga spesies penyu laut terancam, dugong, ikan lumba lumba serta spesies ikonik seperti jerung paus dan ikan paus.
Katanya, kejayaan itu juga adalah hasil pemuliharaan berasaskan sains, termasuk pemantauan biologi marin dan teknik pemulihan karang, yang membuktikan pentingnya data saintifik dalam membuat keputusan dan menilai keberkesanan pengurusan,” katanya. – SABAH MEDIA