HomeUtama‘Berubahlah, makin tua sudah’ – nasihat hakim kepada pesalah tegar dadah

‘Berubahlah, makin tua sudah’ – nasihat hakim kepada pesalah tegar dadah

Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Baru empat bulan dibebaskan dari penjara, seorang lelaki kembali ke tirai besi selepas mengaku bersalah mengambil dadah jenis syabu buat kali keenam.

Darkashim Sidik, 45, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan kelak.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim menasihati tertuduh agar tidak lagi mengulangi kesalahan sama.

“Kamu mempunyai beberapa sabitan lampau dan baru sahaja dibebaskan pada 11 Oktober 2024. Namun, empat bulan kemudian kamu ditangkap semula.

“Minggu depan hari jadi kamu. Berubahlah ya, makin tua sudah,” katanya.

Darkashim didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine pada 10 Februari 2025, jam 1 petang, ketika berada di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dan dihukum di bawah Seksyen 39C(2) ADB 1952, serta dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tujuh tahun dan tidak melebihi 13 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada tiga kali dan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, hukuman turut disusuli dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB, iaitu antara dua hingga tiga tahun.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mempunyai lima sabitan lampau berkaitan dadah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir Mahmood, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular