HomeUtamaLelaki dipenjara empat tahun salah guna kad ATM biras lesapkan RM10,000

Lelaki dipenjara empat tahun salah guna kad ATM biras lesapkan RM10,000

Read Time:2 Minute, 38 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan transaksi tanpa kebenaran melibatkan wang RM10, 000 milik birasnya.

Sylvester Drem, 35, membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim Amir Shah Amir Hassan.

Tertuduh telah melakukan transaksi tanpa kebenaran dengan menggunakan instrumen pembayaran milik birasnya, seorang wanita berusia 55 tahun, untuk memindahkan wang sebanyak RM10,000 dari akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik mangsa ke dalam akaun Maybank milik ibu tertuduh yang berusia 54 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 20 November 2024, kira-kira jam 11.26 pagi di BSN Jalan Hone, dalam daerah Tuaran, Sabah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, atau denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak melebihi RM150,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 29 November 2024 kira-kira jam 3 petang di BSN cawangan Tuaran, mangsa menyedari wang simpanannya berkurang sebanyak RM10,000 ketika cuba membuat pengeluaran.

Hasil semakan mendapati terdapat satu transaksi pindahan wang bernilai RM10,000 yang dilakukan pada 20 November 2024, hari sama mangsa meminta bantuan tertuduh untuk mengeluarkan wang sebanyak RM200. Mangsa mengesyaki tertuduh yang melakukan transaksi tersebut.

Menurut mangsa, kad ATM telah diserahkan semula oleh tertuduh bersama wang tunai RM200 pada hari yang sama.

Selepas menyedari kehilangan wang, mangsa menghubungi tertuduh untuk mendapatkan penjelasan dan tertuduh mengakui melakukan pemindahan itu. Tertuduh berjanji akan membayar wang itu semula, namun sehingga laporan polis dibuat tertuduh gagal berbuat demikian dan tidak dapat dihubungi.

Susulan laporan polis, tertuduh ditangkap pada 16 Mei lalu dan hasil siasatan mendapati dia telah memindahkan wang itu ke akaun Maybank milik ibunya. Tertuduh juga mengaku bahawa kad ATM akaun ibunya berada dalam simpanannya, dan perkara itu turut disahkan oleh mertua mangsa.

Dalam rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Ketika ditanya oleh Mahkamah, tertuduh mengaku kesemua wang tersebut telah dihabiskan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir Mahmood memaklumkan bahawa kes ini merupakan kes pertama di Sabah yang didakwa di bawah Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan.

Walaupun begitu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Hakim ketika menjatuhkan hukuman berkata bahawa mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam dan kesan terhadap mangsa, iaitu biras tertuduh yang mengalami kerugian selepas tertuduh gagal menunaikan janji untuk membayar semula.

Hakim juga mengambil kira Seksyen ini baru sahaja dikuatkuasakan pada 30 Oktober 2024, manakala kesalahan dilakukan sebulan kemudian pada 29 November 2024.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa ini merupakan kes pertama di Sabah yang dibawa ke mahkamah di bawah Seksyen berkenaan, dan berharap lebih banyak kes akan didaftarkan supaya peruntukan undang-undang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk membendung perbuatan seumpama ini, serta menjadikan hukuman yang dijatuhkan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu 16 Mei 2025.

Terdahulu Sabah Media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan pihak polis selepas disyaki terlibat dalam transaksi kewangan tanpa kebenaran membabitkan akaun bank ahli keluarganya.

LINK BERITA: https://sabahmedia.com/2025/05/20/lelaki-ditahan-kerana-guna-akaun-bank-ahli-keluarga-tanpa-kebenaran/

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular