HomeUtamaLelaki ditahan kerana guna akaun bank ahli keluarga tanpa kebenaran

Lelaki ditahan kerana guna akaun bank ahli keluarga tanpa kebenaran

Read Time:1 Minute, 20 Second

TUARAN: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan pihak polis selepas disyaki terlibat dalam transaksi kewangan tanpa kebenaran membabitkan akaun bank ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin berkata, suspek ditahan pada 16 Mei lalu sekitar jam 6.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran susulan laporan yang dibuat oleh mangsa.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah memindahkan wang berjumlah RM10,000 daripada akaun bank milik birasnya ke akaun milik ibunya pada 20 November 2024 tanpa pengetahuan atau kebenaran kedua-dua pihak terbabit.

“Suspek kemudian mengeluarkan wang tersebut menggunakan kad bank ibunya yang berada dalam simpanannya, juga tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu di bawah Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan akaun atau instrumen pembayaran milik orang lain tanpa kuasa yang sah.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM150,000, atau kedua-duanya sekali.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan akaun dan instrumen pembayaran kewangan, sama ada melibatkan pihak luar mahupun ahli keluarga sendiri. Tindakan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menggugat kepercayaan dalam institusi kekeluargaan dan kewangan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan kad bank dan maklumat perbankan serta tidak membenarkan mana-mana pihak mengakses akaun secara tidak sah walaupun melibatkan ahli keluarga atau teman rapat.

“Sekiranya terdapat sebarang transaksi mencurigakan atau tidak dibenarkan, orang ramai dinasihatkan agar segera membuat laporan kepada pihak polis,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular