Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Seorang Penolong Kanan di sebuah sekolah menengah di Kunak memperoleh rezeki berganda apabila menerima dua khabar gembira serentak iaitu kenaikan pangkat sebagai Pengetua dan panggilan bagi menunaikan ibadah haji.
Guru berkenaan, Ahmad Nontji,52, berkata, meskipun menerima rezeki berganda, beliau memilih untuk pergi menunaikan ibadah haji selepas mengambil pandangan dan nasihat pelbagai pihak termasuk pegawai Tabung Haji (TH).
Beliau yang ditemani isterinya Siti Sundari Mukhson Hadi,49, meluahkan rasa syukur apabila kedua-dua peluang yang tidak selalu diperolehi berjaya dicapai hasil keizinan dan perancangan Allah SWT.
“Memang pada awalnya saya agak dilema kerana kedua-duanya datang dalam masa yang hampir sama. Saya dapat tawaran kursus kepengetuaan dan dalam masa yang sama, saya juga menerima panggilan haji.
“Selepas mendapatkan nasihat dari pelbagai pihak termasuk Pengurus TH Semporna, serta pihak pengurusan sekolah dan Institut Aminuddin Baki (IAB), saya memutuskan untuk mendahulukan ibadah haji.
“Alhamdulillah, IAB membenarkan penangguhan kursus, jadi saya tidak perlu melepaskan mana-mana peluang ini. Saya dapat menunaikan haji dan pada masa yang sama tetap meneruskan perjalanan kerjaya saya sebagai pengetua selepas pulang nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan khas KT62S di sini pada Isnin.
Ahmad dan isterinya adalah antara 142 bakal jemaah haji yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Jeddah semalam.
Sementara itu, Ahmad yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai berkata, beliau telah mula menyimpan di TH sejak tahun 2000 dan mendaftar haji pada Jun 2009.
Katanya, selepas hampir 15 tahun menanti, beliau dan isterinya akhirnya dipanggil untuk ke Tanah Suci pada tahun ini.
Isterinya, Siti Sundari mengakui teruja dan bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah haji bersama suaminya.
“Menjadi tetamu Allah bukan mudah. Mudah-mudahan kami dikurniakan haji yang mabrur,” katanya.
Pasangan ini memiliki lima orang anak. – SABAH MEDIA