Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Polis Tawau berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 2.43 kilogram bernilai kira-kira RM87,000 dalam dua tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Tawau.
Kedua-dua suspek, warga tempatan berusia 44 dan 21 tahun, ditahan selepas tiba dari Kuala Lumpur.
Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner (ACP), Jasmin Hussin berkata suspek pertama (44 tahun) ditahan jam 9.25 malam, namun tiada dadah ditemui padanya.
Bagaimanapun, jelas beliau maklumat daripadanya (suspek pertama) membawa kepada penahanan suspek kedua.
“Suspek kedua ditahan jam 10.15 malam dengan bagasi mengandungi dadah.
“Dadah tersebut disembunyikan dalam bagasi biasa dan dimasukkan dalam bekas makanan atau kotak biskut untuk menggaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, di sini hari ini.
Jasmin berkata, dadah tersebut dimasukkan dalam bagasi dan semuanya bertutup bersih serta masih dalam keadaan sempurna.
Beliau memberitahu, suspek pertama memiliki empat kes jenayah sebelum ini berkaitan dadah manakala suspek kedua dikehendaki atas kes penipuan dan kesalahan judi.
“Kedua-duanya dipercayai bukan penduduk Tawau dan kemungkinan besar mereka ini sebahagian atau terlibat dengan sindiket dadah,” ujarnya sambil menambah pihak berkuasa akan meneruskan siasatan lanjut ke atas kes tersebut.
Ditanya sama ada dadah tersebut juga diseludup ke Indonesia, beliau tidak menolak kemungkinan suspek mencari rangkaian lain dalam sindiket ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman hingga 25 Mei 2025.