KOTA KINABALU: Dua maut termasuk seorang wanita warga emas dalam satu kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Pulau Penampang, Menggatal awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.15 pagi apabila seorang penghuni rumah menyedari api marak dari bahagian dapur selepas terdengar bunyi letupan.
“Pengadu yang sedang berehat di kaki lima rumah terdengar bunyi letupan dari arah dapur. Beliau bersama ahli keluarga cuba memadam kebakaran, namun api merebak dengan pantas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kasim, dua mangsa yang merupakan ibu mertua berusia 80’an dan cucu kepada pengadu berusia 15 tahun, gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut.
“Pasukan bomba dan polis yang tiba sejurus menerima panggilan kecemasan berjaya mengawal kebakaran, namun kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak hospital,” ujarnya.
Kasim berkata, siasatan awal mendapati rumah berkenaan didiami enam penghuni, terdiri daripada seorang lelaki dan lima perempuan.
Katanya, punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas dari bahagian dapur, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kematian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
“Polis akan meneruskan siasatan terperinci termasuk merakam percakapan pengadu dan saksi-saksi bagi membantu siasatan,” tambahnya.