Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Impian seorang nelayan untuk menunaikan haji menggunakan hasil pendapatan yang disimpan sejak berusia 18 tahun akhirnya membawa kegembiraan apabila dipanggil menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci pada tahun ini.
Bagi Ismail Tahil @ Taha, 62, berkata, beliau mula mendaftar haji pada tahun 2009 bersama isterinya Sunah Uting,57,mengakui gembira dan syukur apabila dipanggil untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Ismail berkata, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi khususnya dari segi kewangan apabila perlu mengeluarkan wang simpanan di Tabung Haji (TH) untuk keperluan persekolah anak-anak selain keperluan harian.
“Kadang-kadang kalau kita tiada kewangan terpaksa kita keluarkan RM100 hingga RM200, jadi apabila anak-anak sudah sekolah, pencarian bulanan merosot dan disitulah kita terpaksa mengeluarkan simpanan yang ada.
“Namun bila ada lagi pendapatan hasil nelayan ini, saya simpan lagi balik dan saya teruskan bekerja keras sebab perbelanjaan keluarga dengan pendapatan seorang nelayan agak besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan khas KT62S di sini pada Isnin.
Ismail dan isterinya adalah antara 142 bakal jemaah haji yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Jeddah semalam.
Katanya yang berasal dari Kampung Kolapis Beluran berkata, beliau dan isterinya pernah membuat rayuan haji sebanyak tiga kali namun tidak berjaya.
“Jika ditanya mengenai perasaan saya, saya sangat gembira dan kalau boleh saya tidak mahu tinggal disini, saya mahu terus pergi disana.
“Saya sangat gembira, hati ini sudah menanti selama 16 tahun. Tidak sabar untuk pergi sana kerana panggilan sudah ada,” katanya. – SABAH MEDIA