HomeUtamaHak pekerja terus dilindungi melalui pelaksanaan undang-undang buruh

Hak pekerja terus dilindungi melalui pelaksanaan undang-undang buruh

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Kerajaan mengambil langkah proaktif memastikan hak pekerja terus dilindungi secara menyeluruh melalui pelaksanaan undang-undang buruh yang dipinda, selari dengan arus pembangunan negeri.

Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim berkata, undang-undang buruh itu bukan sahaja memenuhi piawaian buruh antarabangsa, malah untuk menangani kelemahan dalam peraturan sedia ada yang telah lama tidak dikemas kini.

“Semua ini adalah untuk kebaikan bagi memastikan kita menyediakan perlindungan terhadap sebarang bentuk penindasan seperti, buruh kanak-kanak, pembayaran gaji rendah, dan sebagainya.

“Menurut data Jabatan Perangkaan, Sabah masih ketinggalan dalam beberapa aspek. Tetapi usaha mengejar kemajuan tidak seharusnya bermakna kita mengambil jalan pintas, terutama dalam aspek melindungi pekerja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Transformasi Perundangan Perburuhan 2025 Peringkat Negeri Sabah di Hotel Le Meridien di sini, pada Isnin (19 Mei).

Beliau difahamkan undang-undang buruh yang dilaksanakan baru-baru ini, iaitu Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan 2024), Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan 2020), dan Ordinan Buruh Sabah Cap 67 (Pindaan 2025) yang melibatkan sektor awam dan swasta, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kemajuan yang adil dan inklusif.

Katanya, skopnya adalah luas, melibatkan pelbagai jabatan dan agensi, termasuk Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam). Jadi, ini bukan hanya terhad kepada sektor swasta, malah turut melibatkan penjawat awam.

“Pemain industri perlu menghormati hak pekerja secara sukarela. Tetapi memandangkan itu tidak selalu berlaku, kerajaan perlu campur tangan dengan langkah proaktif.

“Perubahan ini tidak berlaku sekelip mata. Sebelum dibentangkan di Parlimen, kami telah melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk mengenal pasti jurang dan cabaran.

“Sebagai perlaksanaan undang-undang ini, kami juga telah melancarkan pasukan yang menjelajah seluruh Sabah untuk mengadakan bengkel dan program libat urus. Sesi hari ini hanyalah permulaan. Kami mahu pastikan semua pihak memahami undang-undang dan hak mereka,” katanya menegaskan bahawa pendekatan yang diambil adalah bersifat kolaboratif dan bukan menghukum.

Mengulas kebimbangan terhadap kesan pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan revolusi industri terhadap pekerjaan, Hanafiah menjelaskan bahawa industri sebenarnya sedang berkembang dan bukannya menghapuskan pekerjaan.

“Apa yang penting ialah pendigitalan mesti selari dengan keselamatan dan hak pekerja. Ketika kita mendigitalkan sektor ekonomi, perlindungan terhadap pekerja juga mesti berkembang. Pemantauan terhadap peralihan ini adalah penting supaya tiada yang tercicir. Jika ada jurang, ia perlu dikenal pasti agar kerajaan dapat bertindak,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular