HomeUtamaWarga asing terlepas hukuman mati, terima 33 tahun penjara dan sebatan

Warga asing terlepas hukuman mati, terima 33 tahun penjara dan sebatan

Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang warga Filipina terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini meringankan hukuman matinya kepada penjara 33 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh rakan senegaranya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Dato’ Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Dato’ Dr Alwi Abdul Wahab membuat keputusan sebulat suara dan meringankan hukuman mati Ismail Rasad selepas mendengar rayuannya.

Aldin diperintahkan menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap 1 Mei 2016, pada ketika itu perayu berusia 36 tahun.

Ismail pada 17 Januari 2022 yang memegang dokumen IMM13 dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Md Adzmar Alex, 19, yang juga pemegang dokumen IMM13, pada pukul 11.30 malam 1 Mei 2016 di Kampung Rampayan, Manggatal.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah diseksa dengan tidak kurang daripada 12 sebatan, sekiranya sabit kesalahan.

Ismail kemudiannya menfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 19 Januari 2022 bagi mengetepikan sabitan serta hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Januari 2022.

Sebagai rekod, pada mulanya, Ismail pada 14 Disember 2017 dipenjara 25 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas dia mengaku bersalah kepada tuduhan menyebabkan kematian, yang lebih ringan.

Tertuduh pada mulanya didakwa membunuh, tetapi Mahkamah Tinggi dalam keputusannya pada penghujung kes pendakwaan memutuskan bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan semua syarat perlu untuk pembunuhan namun pendakwaan berjaya membuktikan semua syarat untuk tuduhan menyebabkan kematian orang.

Pada 24 September 2019 Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dan mengetepikan sabitan serta hukuman tuduhan lebih ringan itu, dan memerintah supaya Ismail membela diri terhadap tuduhan asal iaitu membunuh di Mahkamah Tinggi.

Ismail, yang menjadi saksi tunggal pembelaan, memberi keterangan tidak bersumpah dalam pembelaannya.

Peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari bagi pihak responden.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular