KOTA KINABALU: Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin menjelaskan bahawa pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah yang diadakan Sabtu lalu tidak pernah dibincangkan bersama kepimpinan negeri dan mengejutkan banyak pihak termasuk beliau sendiri.
Menurut Razeef, secara tradisinya, pelancaran jentera pilihan raya parti akan disempurnakan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR yang juga merupakan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli. Namun, Rafizi dalam satu kenyataan semalam menyatakan bahawa beliau tidak dijemput untuk menghadiri atau melancarkan jentera tersebut.
Sebaliknya, majlis pelancaran itu dihadiri dan disempurnakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Razeef berkata, beliau sendiri tidak mengetahui mengenai majlis tersebut sehinggalah poster acara mula tersebar hanya dua hingga tiga hari sebelum program berlangsung.
“Saya pun tidak tahu. Walaupun saya pimpinan negeri dan ketua cabang, tidak ada sebarang makluman atau perbincangan di peringkat kami. Jadi apabila keluar poster itu, saya tanya Pengerusi Negeri, Datuk Mustapha Sakmud, sama ada pengarah pilihan raya dimaklumkan atau tidak, sebab ini berkaitan pelancaran jentera pilihan raya,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut beliau, Mustapha memaklumkan bahawa keputusan pelancaran itu dibuat oleh Biro Politik parti. Namun Razeef menegaskan bahawa walaupun keputusan dibuat oleh Biro Politik, ia seharusnya dibincangkan dengan kepimpinan negeri agar segala gerak kerja dapat disusun dengan baik, termasuk soal mobilisasi dan atur cara.
Katanya, cara pelaksanaan majlis tersebut menimbulkan persepsi bahawa ia sekadar gimik politik dan lebih dilihat sebagai kempen peribadi Nurul Izzah, memandangkan tiada penyelarasan di peringkat negeri. Razeef juga memaklumkan bahawa pada hari yang sama sepatutnya berlangsung program jelajah Rafizi, dan dalam jadual asal tidak ada langsung dinyatakan pelancaran jentera pilihan raya.
Keadaan itu menyebabkan ramai pimpinan cabang berada dalam dilema dan tersepit antara dua program yang berlangsung serentak. Ada yang terpaksa membahagi kehadiran ke dua lokasi, dan ada yang berkejar dari satu program ke program lain.
Tambah Razeef, PKR Sabah sendiri belum pun memulakan perancangan rasmi untuk melancarkan jentera pilihan raya kerana struktur jawatankuasa cabang masih dalam proses pemantapan susulan pemilihan parti yang baru selesai. Menurutnya, selepas proses pelantikan jawatankuasa cabang dan jawatankuasa pilihan raya selesai, barulah pelancaran jentera dapat diadakan secara rasmi dan teratur.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa PKR Sabah cuba menunggang kehadiran Nurul Izzah dan Amirudin dalam program tersebut. Jelasnya, walaupun Pengerusi Negeri mengetahui mengenai penganjuran program itu, kebanyakan ketua cabang tidak dimaklumkan dan tidak terlibat dalam perancangannya.
“Isu ini menyebabkan wujud pelbagai persepsi. Ada yang kata kami menunggang Nurul Izzah, ada pula yang kata Nurul Izzah menunggang PKR Sabah. Tapi hakikatnya kami di negeri tersepit,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa dua program parti berlangsung serentak pada hari Sabtu, yang menyaksikan kehadiran Nurul Izzah dan Amirudin Shari ke Sabah bagi melancarkan jentera PKR negeri itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), manakala Rafizi Ramli mengetuai program Jelajah Hiruk di ITCC Penampang.