Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sabah terus dipergiat menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan TWI Technology Malaysia di sini, hari ini.
Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
MoU tersebut ditandatangani di antara Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Kamsiah Ibrahim, dan Pengurus TWI Technology, Anizar Abu Bakar.
Majlis ini diadakan di Pelancaran Majlis TVET Sabah (MTS) yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort.
Kerjasama strategik ini merangkumi pelaksanaan latihan dan pemeriksaan teknikal dalam bidang seperti Kimpalan Praktikal, Kimpalan Plastik, Pemeriksaan Tanpa Musnah (Non-Destructive Testing – NDT), Pemeriksaan Pengecatan dan Salutan, Pemeriksaan Loji serta Pemeriksaan Bawah Air.
Bidang lain termasuklah Prosedur Kimpalan serta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan.
Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem TVET negeri dengan sokongan rakan industri yang berpengalaman dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sejak 1992, TWI Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam menyampaikan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa dari United Kingdom, termasuk pensijilan dalam bidang Pemeriksaan Kimpalan, Pemeriksaan Tanpa Musnah (NDT), Pemeriksaan Pengecatan dan Salutan, Kimpalan Plastik serta Pemeriksaan Bawah Air.
Kursus-kursus ini diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa seperti Certification Scheme for Welding Inspection Personnel (CSWIP) dan British Gas Approval – Certification Scheme for Welding Inspection Personnel (BGAS-CSWIP).
Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah ini ialah Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahemad Sade; dan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim.