Oleh J. Evachel John
TAWAU: Dua warga tempatan dan dua warga asing dijatuhi hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memberikan maklumat palsu berhubung permohonan daftar lewat Kad Pengenalan.
Pindh Harijah Jamman, 43; Mumang Abdillah, 23; Gulam Kolong, 34; dan Alsidu Amil, 84; masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Pindh dijatuhi hukuman satu tahun penjara dan denda RM10, 000 atau gagal bayar tujuh bulan penjara kerana kerana tertuduh sebagai pemohon telah membuat akuan palsu dalam Borang Permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan (JPN.KP01) dalam ruangan E (Akuan Pemohon) dan Lampiran A atas nama Roslan Bin Abdul Hussin.
Tertuduh mengaku sebagai ibu dalam permohonan tersebut dengan menggunakan satu sijil kelahiran atas nama Roslan yang telah meninggal dunia.
Dia melakukan kesalahan itu pada 23 Februari 2024 jam lebih kurang 08.27 pagi, di kaunter Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah Tawau, Sabah.
Mumang pula dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM5,000, atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda, kerana memberikan maklumat palsu menggunakan nama dan sijil kelahiran Roslan yang bukan miliknya, pada masa dan tempat yang sama.
Gulam dijatuhi penjara 14 bulan dan denda RM10,000, atau tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Mengikut pertuduhan, Gulam tanpa kuasa yang sah telah membuat permohonan kad pengenalan daftar lewat atas nama Alkhalid Alsidu menggunakan sijil kelahiran siri SB406914 yang bukan miliknya. Kesalahan dilakukan pada 22 Mei 2023, jam 3.11 petang di lokasi sama.
Alsidu pula dihukum penjara dua hari dan denda RM5,000, atau penjara tujuh bulan kerana memberikan maklumat palsu dalam permohonan daftar lewat kad pengenalan atas nama Alkhalid Alsidu, yang bukan anak kandungnya pada masa dan tempat yang sama.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan iaitu hari ini. Kesemua tertuduh gagal membayar denda.
Mumang dan Gulam, yang merupakan warga asing dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, diperintahkan untuk dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Semasa rayuan, kesemua tertuduh meminta hukuman ringan namun Pegawai Pendakwa Mohamad Faizal Tahir dari JPN meminta hukuman berat memandangkan kes tersebut melibatkan keselamatan negara.
“Kesalahan yang dilakukan oleh semua tertuduh mengancam keselamatan dan integriti sistem pendaftaran negara. Kad pengenalan bukan sekadar dokumen pengenalan, tetapi kunci kepada hak-hak eksklusif seorang warganegara seperti akses kepada subsidi, hak mengundi, dan pelbagai kemudahan kerajaan.
“Kesalahan ini membuka ruang kepada penyalahgunaan sistem oleh warga asing yang mungkin mempunyai niat jahat atau melibatkan sindiket jenayah terancang,” hujah Faizal.