HomeUtamaSedia hadapi pertembungan terbuka dalam PRN17– Joniston

Sedia hadapi pertembungan terbuka dalam PRN17– Joniston

Read Time:2 Minute, 29 Second

KIULU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai, menegaskan bahawa perbalahan berhubung agihan kerusi dalam kalangan parti yang berhasrat membentuk pakatan mungkin mencetuskan pertembungan terbuka pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Sehubungan itu, Joniston berkata GRS mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bertanding secara bersendirian (solo), seperti yang dinyatakan sebelum ini oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji sebelum ini menyatakan bahawa GRS bersedia bergerak solo susulan tindakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani deklarasi untuk bekerjasama dalam pilihan raya Sabah, yang disifatkan ramai sebagai isyarat jelas menolak GRS.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata, senario pertembungan terbuka mungkin menjadi rahmat yang tersembunyi kerana ia memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk memilih antara gabungan parti tempatan dan parti yang berpangkalan di Semenanjung.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi bertemu rakyat di Kg Tibabar, selepas merasmikan jalan yang dinaik taraf dari Poturidong ke Tibabar di sini, hari ini.

Menurut Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), rakyat Sabah boleh menganggap pilihan raya negeri ini sebagai satu referendum untuk memilih antara GRS yang berasaskan tempatan, Barisan Nasional pimpinan UMNO, Pakatan Harapan dan juga gabungan Warisan Plus.

“Ini akan menjadi ujian jelas sama ada kita mahu dipimpin oleh pemimpin parti tempatan atau mereka yang tunduk kepada arahan parti berpusat di Kuala Lumpur,” tegasnya.

Tambah beliau, GRS telah membuktikan bahawa gabungan berasaskan tempatan mampu melaksanakan pembangunan yang bermakna sambil bekerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan.

Sebagai contoh, katanya, walaupun GRS adalah gabungan tempatan yang menerajui kerajaan negeri, ia menikmati hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Joniston turut memaklumkan bahawa geran khas tahunan Persekutuan telah meningkat daripada RM53 juta ketika era pemerintahan Warisan kepada RM600 juta di bawah pentadbiran GRS.

Satu lagi pencapaian penting katanya ialah termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan Petronas, yang membawa manfaat ketara kepada Sabah dan menambah hasil negeri.

Hasil daripada tadbir urus yang baik serta pelan dan strategi pembangunan yang terarah menerusi inisiatif Sabah Maju Jaya, digabungkan dengan hubungan erat dengan Putrajaya, hasil tahunan negeri kini meningkat kepada RM6.9 bilion, manakala rizab negeri hampir mencecah RM8 bilion.

“Kita bukan anti-Persekutuan, tetapi kita percaya Sabah harus dipimpin oleh anak Sabah sendiri, tanpa terikat dengan arahan luar.

“GRS adalah bukti bahawa Sabah mampu bekerjasama secara matang dengan Putrajaya, sambil tetap mengutamakan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Joniston turut menyentuh mengenai manuver politik lampau yang melibatkan Umno-BN, Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), yang digambarkannya sebagai cubaan menjatuhkan Ketua Menteri pada Januari 2023 yang bersifat tidak ikhlas dan merosakkan kestabilan.

“Isu ketika itu bukan soal kepimpinan, tetapi soal kuasa dan kepentingan peribadi,” ujarnya.

Beliau menyeru para pengundi agar mengambil iktibar daripada cubaan rampasan kuasa itu dan memilih kestabilan berbanding permainan politik yang merugikan.

“Kita telah menyaksikan kerosakan akibat perebutan kuasa yang tidak bertanggungjawab. Sabah perlukan kepimpinan yang stabil dan ikhlas. Pilihan raya ini adalah peluang untuk kita melangkah ke hadapan, bukan berpatah balik,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular