Putrajaya : Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak hari ini bersetuju supaya Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) meneruskan fungsi, aktiviti dan tanggungjawabnya seperti diamanahkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) serta peraturan-peraturan di bawahnya.
Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan hari ini adalah hasil kata sepakat dicapai atas semangat Persekutuan susulan pertemuan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan barisan kepimpinan tertinggi PETRONAS serta Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) pada 9 Mei 2025 yang lalu,
Pejabat Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju mencapai kesepakatan melalui kaedah rundingan di atas semangat persekutuan.
Kenyataan Bersama itu turut menyatakan semua undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas di dalam Negeri Sarawak hendaklah wujud secara bersama dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti tersebut di Negeri Sarawak, termasuk PETRONAS dan PETROS.

“Kerajaan Negeri Sarawak telah melantik PETROS sebagai agregator gas berkuat kuasa 1 Mac 2025. Pelantikan ini hendaklah dihormati oleh semua pihak yang menjalankan perniagaan pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna domestik di Negeri Sarawak.
“Sebarang perjanjian dan pengaturan (arrangement) antara PETRONAS dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG dari sektor huluan hingga ke pengeksportan LNG kepada pihak-pihak antarabangsa akan kekal tidak terjejas,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, PETRONAS dan PETROS hendaklah mengadakan perbincangan bagi tujuan meluaskan kerjasama bagi keperluan gas domestik Negeri Sarawak termasuklah kerjasama dalam projek-projek penyaluran bekalan gas sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari (billion standard cubic feet per day) (Bscf/d) bagi menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Selain itu, kerjasama itu termasuk projek tenaga hijau, hidrogen dan penjanaan elektrik yang mungkin dilaksanakan oleh PETRONAS dan PETROS, selaras dengan aspirasi Negeri Sarawak serta semua perbincangan lanjut mengenai kerjasama mesti tertakluk kepada daya maju komersial dan teknikal.
Bagi tujuan projek-projek masa depan di Negeri Sarawak yang melibatkan rakan kongsi antarabangsa, PETRONAS akan bekerjasama dengan PETROS.
Kedua-dua pihak PETRONAS dan PETROS hendaklah berusaha untuk terus bekerjasama memperincikan rangka kerja demi kepentingan negara mengikut prinsip komersial secara telus.
Potensi besar yang dapat diterokai secara menyeluruh dari kesepakatan ini mampu memperkukuhkan kepercayaan dan mengembalikan keyakinan para pelabur khususnya syarikat-syarikat antarabangsa di dalam sektor petroleum untuk memuktamadkan hala tuju pelaburan masing-masing di Malaysia.