Kota Kinabalu : Penganjuran Hari Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya membuktikan bahawa kekangan lokasi bukan penghalang untuk membina budaya kesukanan dalam kalangan pelajar.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Datuk Mohd Arif Sakaran berkata, meskipun sekolah itu terletak di pulau namun semangat kesukanan pelajar kekal tinggi.
Katanya, ia adalah hasil usaha berterusan guru-guru sukan yang gigih memupuk minat dari peringkat akar umbi.
“Setiap tahun, kita dapat lihat peningkatan penyertaan dan semangat pelajar. Ini bukti komitmen sekolah dalam membina bakat sukan sejak awal.
“Sukan penting, tetapi selepas tamat kejohanan, pelajar harus beri tumpuan semula kepada pelajaran,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan kejohanan sukan tahunan SMK Pulau Gaya di Stadium Likas di sini pada Selasa.
Beliau turut menekankan kepentingan terhadap keseimbangan antara akademik dan kokurikulum.
Arif turut berharap agar lebih ramai atlet dari sekolah itu dapat melangkah ke peringkat daerah dan negeri kelak, seiring dengan kesungguhan guru-guru melatih pelajar.
Menurutnya lagi, dengan perancangan pembinaan sekolah baharu di Pulau Gaya yang bakal dilengkapi fasiliti sukan, penganjuran Hari Sukan mungkin boleh dilaksanakan sepenuhnya di pulau itu sendiri pada masa depan. – SABAH MEDIA