Kota Kinabalu : Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Allahyarham Tun Ahmadshah Abdullah merupakan seorang yang jujur serta disenangi oleh semua orang.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, Allahyarham Tun Ahmadshah juga merupakan pemimpin yang baik dan sangat berdedikasi.
“Semasa hayatnya, Tun Ahmadshah telah melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertua Negeri dan pelbagai jawatan lain dalam kerajaan dengan baik dan dedikasi.
“Di samping itu, Allahyarham juga merupakan seorang yang jujur, ikhlas, mempunyai budi pekerti yang mulia dan disenangi oleh semua orang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Selain menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah yang kesembilan, beliau dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin serta keluarga turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman dan beramal soleh.
Tun Musa menziarahi jenazah Allahyarham kira kira jam 11 malam tadi, sejurus mendapat khabar tentang pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri itu di hospital swasta, KPJ.
Beliau diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.